Siakap Keli
korea utara-selatan bertukar surat
Gambar via Indian Express/Google

Pemimpin Korea Utara-Selatan Bertukar Surat, Jalin Hubungan ‘Mesra’

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dilapor bertukar surat dan jalin hubungan ‘mesra’ dengan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, lapor Aljazeera.

Menurut Aljazeera, bagi media Korea Utara, tindakan Kim tersebut disifatkan sebagai berita positif yang jarang berlaku antara kedua-dua negara.

Difahamkan, media Korea Utara melaporkan bahawa Moon menghantar surat kepada Kim awal minggu ini dan berkata, dia akan terus berusaha ke arah penyatuan Korea selepas bersara.

Manakala sebagai tanda balas, Kim sebaliknya mengucapkan terima kasih kepada Moon kerana usahanya yang mahu mencapai kebaikan antara kedua-dua negara tersebut.

Malah dalam masa sama, Kim juga turut berkata, usaha bersama itu akan memberikan harapan untuk masa depan, selain berharap hubungan dengan negara saudara ‘seterunya’ itu akan bertambah baik.

Dalam masa sama, Korea Selatan juga mengesahkan bahawa kedua-dua pemimpin tertinggi itu telah bertukar surat pada Jumaat baru-baru ini.

Bertukar surat ketika waktu tegang

Difahamkan, proses pertukaran surat tersebut berlaku pada waktu tegang di Semenanjung Korea, ketika imej satelit menunjukkan penggalian baharu tapak ujian nuklear di Punggye-ri.

Situasi tersebut menunjukkan bahawa Pyongyang mungkin akan memperbaharui aktiviti nuklear mereka selepas menutup tapak itu pada 2018 lalu.

Sementara itu, Korea Utara juga dilapor sedang dalam proses menguji senjata berpandu taktikal baharu mereka pada hujung minggu lalu.

Difahamkan, pengujian peluru berpandu tersebut dibuat bersempena dengan ulang tahun kelahiran pengasas negara republik tersebut, Kim II-Sung akhir Mac lepas.

Dalam masa sama, pengujian tersebut juga turut mematahkan perjanjian ujian peluru berpandu balistik antarabangsa yang ditandatangani negara itu selama empat tahun.

BACA JUGA: Korea Utara Langgar Perjanjian, Lepas ‘Missile’ Terlarang Ke Perairan Jepun

Sementara itu, di bawah undang-undang Korea Selatan, seseorang presiden itu hanya boleh berkhidmat selama lima tahun sahaja bagi satu penggal.

Justeru, Moon dijangka akan menamatkan lima tahun penggalnya apabila Presiden Parti Kuasa Rakyat, Yoon Suk-yeol terpilih mengambil alih jawatan itu pada 10 Mei ini.

Menurut Aljazeera, Moon telah menggunakan tempoh perkhidmatannya untuk terlibat dengan Korea Utara dan bertemu dengan Kim sebanyak tiga kali yang tidak pernah berlaku sebelum ini semasa menjadi presiden.

Dia juga telah menetapkan matlamat jangka panjang untuk menamatkan Perang Korea secara rasmi, yang berakhir dengan gencatan senjata dan bukannya perjanjian damai pada tahun 1953.

Bagaimanapun, hasrat Moon untuk perdamaian tidak menghalang pentadbirannya daripada menyeru lebih banyak sekatan terhadap Korea Utara, berikutan pusingan pelancaran ICBM baru-baru ini, menurut NK News memetik Aljazeera.

Imbas kembali, ketika Februari lepas, Moon pernah memberi amaran bahawa Semenanjung Korea akan dilanda krisis jika ujian nuklear atau peluru berpandu jarak jauh (Korea Utara) diteruskan.

Dalam masa sama, Korea Utara juga turut mengeluarkan amaran keras terhadap sebarang aktiviti ketenteraan oleh jiran selatannya itu dan mengatakan bahawa ia mampu membawa kemusnahan.

Sumber: Al-Jazeera 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?