Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Peribahasa itu sangat sesuai untuk menggambarkan situasi yang terjadi kepada seorang remaja dan bapanya yang dilaporkan menemui sebuah peti besi yang mengandungi wang ribuan dolar di sebuah sungai.
Memetik laporan Daily Mail, George Tindale, 15, telah melakukan aktiviti ‘magnet fishing’ menggunakan magnet kuat di Sungai Witham di Grantham, Lincolnshire, bersama bapanya Kevin, 52.
Setelah menemui peti besi itu, mereka terkejut kerana terdapat kantung berisi 2,500 dolar (RM7,836) di dalamnya.

Selain wang, turut ditemui di dalam peti besi itu adalah sijil senapang patah dan kad bank yang tamat tempoh pada 2004.
Maklumat itu membolehkan George dan bapanya menjejaki pemilik yang sah.
Difahamkan, peti besi itu telah dicuri daripada ahli perniagaan, Rob Everett pada tahun 2000 semasa pecah rumah di pejabatnya.
Selepas menghubungi Rob untuk menjelaskan penemuan menakjubkan itu, mereka terus melawat lelaki tersebut di Grantham untuk memulangkan peti besi yang ditemui oleh mereka.
“Ia sungguh menakjubkan, kami mengeluarkan peti besi ini dan ada banyak wang di dalamnya.

“Menurut Rob, jika saya mahukan pengalaman bekerja selepas tamat persekolahan, tawaran sentiasa terbuka,” kata George.
Sementara itu, Rob berkata peti besi itu dicuri dari pejabatnya sebelum ini oleh seorang remaja.
“Saya kagum mereka dapat menjejaki saya dan tersentuh kerana masih ada orang yang sangat baik di dunia ini.
“Mereka memulangkan barangan kepada pemilik yang sah dan saya fikir itu bersifat kemanusiaan.
“Saya memberikan sedikit ganjaran kepada George dengan menawarkannya bekerja apabila dia sudah bersedia nanti,” katanya.
Dalam pada itu, George kerap memancing ikan dengan bapanya dan merekodkan penemuan mereka itu serta memuat naiknya ke laman YouTube.
Sumber: Daily Mail