Anda sering masuk ke dapur sepanjang bulan Ramadan? Hati-hati, elakkan daripada terkena air panas ke atas permukaan kulit dan sebagainya.
Walaupun berada di dalam rumah, aspek keselamatan perlu diambil serius kerana ia juga melibatkan keselamatan diri dan ahli keluarga yang lain.
Pada bulan puasa ini, ramai yang lebih gembira untuk memasak juadah berbuka puasa bersama keluarga tercinta. Namun, dalam keseronokan menyambut bulan puasa, kita juga perlu sentiasa berhati-hati di dapur.
Hal ini kerana dalam kesibukan memasak, mungkin terjadi perkara yang tidak diingini, misalnya terkena air panas dan minyak panas semasa memasak.
Tidakkah ia boleh menyebabkan hari gembira kita bertukar menjadi duka akibat melecur anggota badan sekiranya terkena air panas dan minyak masak?
Jika terkena, apakah tindakan yang oleh kita ambi bagi merawat luka? Untuk itu, mari kita ikuti perkongsian yang penuh manfaat dibawakan oleh Hello Doktor.
Kulit Melecur Terkena Air Panas Di Rumah? Usah Panik, Rawat Guna 10 Cara Ini

Ketika sedang memasak di dapur, anda telah tercelup tangan dalam air mendidih tanpa sengaja. Kini, kulit terkena air panas dan anda meronta kesakitan. Jika ini yang anda alami, jangan bimbang! Ikuti cara merawat kulit melecur seperti di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pertolongan Cemas, sila dapatkannya di sini.
Ketahui keadaan kulit terkena air panas atau melecur
Luka terbakar yang disebabkan oleh sesuatu yang basah seperti wap atau air panas disebut sebagai melecur.
Melecur atau kulit terkena air panas boleh menyebabkan kesakitan dan kerosakan pada kulit akibat daripada kepanasan lembap atau wap air.
Jenis luka melecur seperti ini sangatlah berbahaya kerana ia boleh merosakkan tisu dan sel yang terjejas.
Badan anda mungkin akan terkejut daripada keadaan panas yang dialami. Bagi kes yang lebih serius, luka melecur juga boleh mengancam nyawa.
Tahap kebakaran pada kulit apabila terkena air panas atau melecur

Terdapat empat tahap luka terbakar atau melecur pada kulit:
- Luka terbakar epidermis ringan. Luka terbakar ini menjejaskan lapisan luar kulit. Kulit anda mungkin akan mengalami sedikit kemerahan, bengkak, dan juga kesakitan
- Luka terbakar dermis ringan. Kesan melecur ini mencapai lapisan kedua kulit anda, lalu menjejaskan hujung saraf, saluran darah serta folikel rerambut pada kulit. Kulit anda mungkin berwarna merah jambu pucat, serta anda akan mengalami kesakitan dan luka melecur yang ringan
- Luka terbakar kulit dalam. Ia sama dengan luka terbakar dermis ringan, dua lapisan kulit teratas akan terjejas. Luka terbakar pada kulit anda boleh menjadi sama ada sangat menyakitkan atau tidak menyakitkan langsung. Kulit anda akan menjadi merah, dengan atau tanpa kelembapan. Kulit anda juga mungkin mengalami bengkak dan melecet
- Luka terbakar keseluruhan. Luka terbakar ini adalah yang paling serius, yang mempengaruhi ketiga-tiga lapisan kulit anda. Luka terbakar ini boleh dikategorikan sebagai luka terbakar tahap ketiga, dan memerlukan rawatan perubatan segera. Anda mungkin mengalami perubahan tekstur kulit daripada kulit yang licin menjadi kulit berlilin. Kulit anda akan terbakar, dan luka tersebut boleh menghitamkan tisu kulit anda
Sekiranya anda mula menggigil atau luka terbakar anda meliputi kawasan lebih daripada tiga inci, dapatkan rawatan perubatan dengan segera.
Baca juga:
- Kulit Melecur Terkena Air Panas Di Rumah? Usah Panik, Rawat Guna 10 Cara Ini
- Ikut 5 Cara Pertolongan Cemas Ini Jika Kulit Melecur Kena Ekzos!
Ini cara merawat kulit melecur yang patut anda buat

Jika kulit terkena air panas itu tidak begitu teruk atau dalam keadaan luka terbakar yang ringan, anda masih boleh merawatnya di rumah. Ikuti cara merawat kulit melecur di bawah ini:
- Jauhkan diri anda daripada sumber haba untuk mengelakkan kecederaan yang lebih teruk.
- Lalukan kawasan kulit yang melecur pada air mengalir yang sejuk untuk menyejukkan kawasan tersebut. Lakukan ini sekurang-kurangnya selama 20 minit. Jangan gunakan ais, air berais, atau bahan berminyak. Pastikan tubuh badan anda kekal hangat semasa proses ini dilakukan untuk mengekalkan suhu badan yang sesuai.
- Sekiranya luka terbakar itu melibatkan sebahagian besar tubuh badan, jangan rendamkan diri anda dalam air sejuk. Ini boleh menyebabkan anda kehilangan kehangatan tubuh badan dan seterusnya memburukkan lagi kecederaan tersebut.
- Tanggalkan barang kemas atau pakaian yang berdekatan dengan kawasan yang terjejas. Ini untuk merendahkan suhu pada kulit tersebut dan memberikan ruang kepada kulit untuk membengkak. Sekiranya pakaian atau barang kemas itu melekat pada kawasan kulit yang melecur, jangan terus menanggalkannya. Ini boleh menyebabkan kecederaan yang lebih parah pada kulit.

Selain itu, jangan lupa:
- Tutup luka melecet dengan pembalut lembap atau kain bersih.
- Sekiranya boleh, tinggikan kawasan yang terbakar lebih daripada paras jantung.
- Jangan pecahkan sebarang gelembung pada kulit yang melecet.
- Makan ubat penahan sakit seperti paracetamol untuk mengurangkan kesakitan yang dialami.
- Jika luka terbakar tersebut berlaku pada muka atau mata, banyakkan duduk daripada berbaring. Ini untuk mengurangkan pembengkakan yang berlaku.
- Sekiranya luka terbakar tersebut melibatkan cecair berbahaya seperti asid atau bahan kimia, segera dapatkan bantuan daripada pihak bomba. Di samping itu, jauhkan diri anda daripada cecair berbahaya dan cuci kawasan kulit yang terjejas dengan menggunakan air bersih yang banyak.
Tidak semua jenis keadaan kulit terkena air panas boleh dirawat di rumah

Namun, anda mesti ingat, cara merawat kulit melecur ini hanya sesuai jika luka melecur itu tidak begitu serius.
Jika luka melecur akibat kulit terkena air panas itu agak serius, segera dapatkan bantuan kecemasan di hospital atau menelefon ambulans.
Begitu juga jika ia melibatkan cecair berbahaya, barangan elektrik atau keadaan melecur sehingga kulit menjadi hitam.
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Sumber: Hello Doktor