Seorang wanita di Perancis telah dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana menyamar sebagai doktor dan pakar oftalmologi selama bertahun-tahun tanpa sebarang latihan perubatan.
Memetik laporan Oddity Central, wanita berusia 31 tahun itu mula memutuskan untuk menjadi seorang doktor pada tahun 2018.
Difahamkan, wanita itu sebenarnya mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Hartanah.
Pun begitu, dia memilih untuk menjadi doktor kerana pekerjaan itu menawarkan gaji yang lebih lumayan.
Untuk melengkapkan penyamarannya, wanita itu telah memalsukan diploma dari Fakulti Strasbourg dan sijil palsu di lembaga Order of Physicians.
Nasib memihak kepadanya apabila dia dapat ‘merawat’ pesakit selama tiga tahun sebelum ramai yang menyedari bahawa dia tidak layak menjadi seorang doktor.
Bagaimanapun, dia tidak berputus asa dan beralih kepada kerjaya profesional yang seterusnya iaitu pakar mata.
Lebih memburukkan keadaan, ketika kebanyakan masanya menjadi seorang doktor, wanita itu memakai gelang pengesan di buku lalinya kerana jenayah yang dilakukan sebelum pelantikannya sebagai pengamal perubatan am.
Menurut laporan France Live, wanita berusia 31 tahun itu telah disabitkan dengan kesalahan ‘pecah amanah’ pada tahun 2019.
Namun, memandangkan syarikat tidak menyemak kelayakannya, dia tidak mempunyai masalah untuk menyamar sebagai seorang pengamal perubatan.
Dia juga dipercayai telah menggunakan identiti dua doktor sebenar yang kebetulan berkongsi namanya, dia mampu memperoleh hampir 70,000 euro (RM327,537) daripada kerjaya palsunya itu.
Sementara itu, sepanjang tempoh tiga setengah tahun dia bekerja sebagai doktor, dia dilaporkan telah melakukan sekitar 20 suntikan vaksinasi COVID-19.
Tidak cuma itu, dia juga telah memberikan pelbagai ubat kepada pesakit walaupun dia tidak mengetahui apa-apa mengenainya.
Ketika perbicaraan, ibu kepada tiga anak itu mengaku bersalah dan menjelaskan bahawa dia didorong oleh keperluan untuk memiliki wang.
Sumber: Oddity Central