Banduan paling ganas dan berbahaya di Britain telah dibenarkan untuk memelihara burung di penjara sebagai langkah untuk menghilangkan tekanan dalam penjara kepada mereka.
Memetik laporan The Sun, banduan itu adalah banduan Kategori A yang melibatkan pengganas, pembunuh dan perogol. Mereka dilaporkan perlu mendapat kebenaran mengikut budi bicara gabenor terlebih dahulu.
Mereka dipercayai boleh membeli burung kakak tua dan ayam sebagai ganjaran untuk tingkah laku yang baik.
Kebanyakan banduan yang telah membeli burung dikatakan sedang menjalani hidup mereka di penjara dengan haiwan peliharaan.
Menurut laporan burung itu dijual kepada banduan dengan harga kira-kira 5 Pound (RM27.48) seekor.
Bagaimanapun, jika mereka mengabaikan tanggungjawab dan tidak menjaga burung itu, ia akan ‘dirampas’ semula.
Difahamkan, banduan dalam tiga penjara Kategori A dibenarkan menyimpan burung kakak tua dan burung nuri dalam sel mereka sejak tahun lepas.
“Ini dapat memperbaiki tingkah laku banduan,” kata jurucakap Perkhidmatan Penjara.
Dalam pada itu, Daily Star melaporkan bahawa banduan tidak boleh membawa haiwan peliharaan mereka itu bersama jika mereka dipindahkan ke penjara baru.
Jurucakap Kementerian Kehakiman pula mengatakan bahawa memelihara burung boleh menimbulkan rasa tanggungjawab.
Ia juga menimbulkan minat kepada banduan, terutamanya bagi mereka yang menjalani hukuman yang panjang.
Tambah jurucakap itu lagi, memiliki haiwan peliharaan juga memberikan kesan terapeutik kepada banduan, yang memberi manfaat kepada penjara secara keseluruhan.
Sumber: The Sun, Daily Star