Sempena menyambut perayaan Hari Raya Aidifitri, Lebuhraya KL-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT) mengesyorkan kepada pengguna yang mahu menggunakan kedua-dua lebuhraya tersebut mengikuti jadual cadangan waktu perjalanan yang dikeluarkan bagi menghindar terperangkap dalam kesesakan jalan.
Cadangan itu bagi kenderaan-kenderaan pengguna yang akan masuk ke Plaza Tol Gombak dari Kuala Lumpur atau Selangor bermula 30 April hingga 2 Mei 2022.
Bagi mereka yang menuju ke Pahang, opsyen pertama adalah antara jam 10 pagi hingga 2 petang manakala opsyen kedua antara jam 8 malam hingga 11 malam.
Untuk pengguna yang mahu ke Terengganu dan Kelantan, pilihan pertama perjalanan adalah bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi. Manakala, bagi pilihan kedua pula dicadangkan antara jam 5 petang hingga 8 malam.
Bagi perjalanan ke semua destinasi pula waktu perjalanan bebas antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi.
Dalam infografik ini memaklumkan bahawa perjalanan bas ekspres ke destinasi Pantai Timur memasuki tol Gombak adalah antara 9.30 pagi sehingga 12 tengah hari dan 9.30 malam sehingga 12 tengah malam. Oleh itu, kenderaan ringan disaran elakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.
Menerusi infografik itu juga menyediakan waktu perjalanan pulang dari destinasi ke Kuala Lumpur pada 7 Mei hingga 8 Mei 2022.
Bagi pengguna dari Pahang, waktu perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi manakala bagi pilihan kedua pula pada 7 malam hingga 10 malam.
Selain itu, pengguna dari Terengganu disaran masuk di Plaza Tol Jabor bermula jam 8 pagi hingga 11 pagi dan 8 malam hingga 10 malam. Manakala dari Kelantan pula disyor masuk di Plaza Tol Bentong bermula jam 6 petang hingga 8 malam atau 10 malam hingga 12 tengah malam.
Bagi pengguna dari semua destinasi pula waktu perjalanan bebas antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi.
Bersempena Hari Raya yang mulia ini, pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk memandu dengan berhati-hati dan ingat orang tersayang yang sedang menunggu di kampung halaman.
Sumber: LPT Trafik