Siakap Keli
israel buka semula lintasan erez
Gambar: Time of Israel

Israel Buka Semula Lintasan Erez Untuk Pekerja Palestin

Israel buka semula Lintasan Erez untuk pekerja Palestin yang memasuki negara itu, selepas serangan roket dari arah Gaza kian reda.

Kerajaan Israel akan membuka semula Lintasan Erez yang merupakan satu-satunya laluan dari Gaza ke negara itu untuk golongan pekerja selepas menutupnya dua hari lalu, lapor AFP baru-baru ini.

Unit dari Kementerian Pertahanan Israel, COGAT memaklumkan, pembukaan semula laluan tersebut adalah berikutan serangan roket dari Palestin yang telah reda.

“Berikutan penilaian keselamatan semasa, keputusan telah diambil bahawa mulai esok, (golongan) buruh dan peniaga sekali lagi akan dibenarkan memasuki Israel dari Gaza melalui Lintasan Erez.

“Membuka lintasan untuk peniaga dan buruh serta langkah-langkah awam lain yang dikenakan ke atas Semenanjung Gaza adalah bergantung kepada pemuliharaan berterusan kestabilan keselamatan di kawasan itu,” kata COGAT dalam satu kenyataan, memetik AFP.

BACA JUGA: Fasiliti Nuklear Israel ‘Diserang’ Landak Perosak

Difahamkan, Lintasan Erez tersebut digunakan oleh kira-kira 12,000 rakyat Palestin yang memasuki Israel menggunakan permit bekerja.

Terdahulu, COGAT mengumumkan bahawa mereka akan menutup Erez selepas tentera dari Gaza melepaskan tembakan ke arah Israel selama empat hari berturut-turut.

Bagaimanapun lapor AFP, tiada tembakan roket yang dilepaskan dari arah Gaza pada Sabtu baru-baru ini.

Manakala bermula Ahad hingga Isnin semalam, peluru dilepaskan pula dari arah Lubnan menuju ke kawasan utara Israel.

Namun menurut AFP, tiada pihak yang mengaku untuk bertanggungjawab ke atas serangan tersebut, sebelum Israel bertindak membuat tembakan balas ke Lubnan.

Menurut AFP, pergolakan tersebut berlaku ketika perayaan Paskah Yahudi disambut serentak dengan bulan suci umat Islam, Ramadan dan ia telah mencetus kebimbangan konflik yang lebih luas.

Ia berlaku hampir setahun selepas keganasan yang serupa pernah tercetus di Masjidil Aqsa yang membawa kepada perang 11 hari antara Israel dan pihak ketenteraan Gaza ketika itu.

Sumber: AFP via Gulf News

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?