Siakap Keli

PBB Jangka Lebih 500 Bencana Alam Berlaku Setiap Tahun Menjelang 2030

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kepada orang ramai bahawa dunia akan berdepan dengan risiko kerosakan yang teruk di masa akan datang. Hal ini berlaku akibat perubahan iklim dan peningkatan bilangan bencana di seluruh dunia.

Dalam satu laporan terkini, PBB untuk Disaster Risk Reduction (UNDRR) mengesan antara 350 dan 500 bencana alam dari skala sederhana kepada besar berlaku di seluruh dunia setiap tahun sepanjang dua dekad lalu.

Laporan tersebut juga memaklumkan bencana itu berlaku 5 kali lebih tinggi berbanding 30 tahun sebelumnya. Perubahan iklim menyebabkan kemarau, suhu melampau dan banjir besar berlaku lebih kerap pada masa akan datang.

Menjelang tahun 2030, PBB menjangkakan lebih 500 bencana alam berlaku di seluruh dunia setiap tahun.

UNDRR berkata dalam satu kenyataan, peningkatan mendadak bencana di seluruh dunia dikaitkan dengan persepsi memandang rendah tentang risiko perubahan iklim.

“Mengabaikan risiko yang kita sedang hadapi menyebabkan orang lain berada dalam bahaya,” tegas Timbalan Setiausaha Agung PBB Amina Mohammed dalam satu kenyataan.

Setiap bencana yang berlaku telah menelan kos yang tinggi iaitu lebih 170 bilion dolar (RM740.41 bilion) setiap tahun. Kebanyakan kerugian ini berlaku di negara berpendapatan rendah yang secara puratanya akan kehilangan satu peratus daripada KDNK negara mereka.

Dalam laporan tersebut memaklumkan Rantau Asia dan Pasifik antara kawasan yang mengalami kerugian ekonomi yang terbesar. Jika bencana berlaku meningkat maka kos kerugian turut meningkat. Kebanyakan kemusnahan akibat bencana alam juga tidak dilindungi oleh syarikat insurans.

Bahkan, laporan itu meramalkan 37.6 juta orang akan berada dalam kehidupan kemisikinan tegar menjelang 2030 akibat kesan daripada perubahan iklim dan bencana.

“Bencana boleh dicegah tetapi hanya jika negara-negara mula melabur untuk mengurangkan risiko bencana,” kata Ketua UNDRR dalam kenyataan.

Beliau juga memberi amaran sekiranya ”manusia dengan sengaja mengabaikan risiko yang wujud dan tidak mengambil kira risiko-risiko berkenaan ketika membuat keputusan, maka dunia secara efektif sedang menuju kehancuran”.

Sumber: AFP

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang