Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.
Bagaimanapun individu yang tidak dibenarkan masuk ke premis adalah individu positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap.
Ia termasuk individu dalam tempoh Home surveillance Order (HSO) termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia.
Dalam sidang media yang diadakan pada petang tadi, beliau juga turut memaklumkan bahawa MySejahtera tidak lagi diwajibkan untuk diimbas apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.
Pun begitu, individu dengan status High Risk pada aplikasi MySejahtera iaitu kes positif COVID-19 dan individu yang diberi arahan HSO, tidak dibenarkan masuk ke premis.
“Pihak pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu dalam aplikasi MySejahtera yang akan memasuki premisnya,” katanya.
Sementara itu, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak diwajibkan tetapi ia adalah atas pilihan individu.
Jika berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing, orang ramai masih lagi diwajibkan memakai pelitup muka.
“Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan agar pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam dan stadium.
“Pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah atas pilihan tetapi amat digalakkan kerana pelitup muka mampu mengurangkan penularan jangkitan,” katanya
Sumber: Kementerian Kesiharan Malaysia