Beberapa kelonggaran penting telah diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media hari ini termasuk mengenai protokol sambutan Hari Raya 2022.
Menurutnya, rumah terbuka atau majlis hari raya dalam bangunan dibenarkan dengan syarat memakai pelitup muka.
Sehubungan dengan itu, penjarakan fizikal antara individu juga tidak diperlukan.
Tidak cuma itu, beliau juga memaklumkan bahawa bersalaman di hari raya dibenarkan.
“Tetapi anda perlu sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan jangan sentuh muka selepas bersalaman,” katanya.
Tambahnya lagi, jamuan selepas solat di masjid atau surau turut dibenarkan tetapi orang ramai digalakkkan untuk memakai pelitup muka ketika tidak menjamu selera.
Individu yang bergejala pula tidak digalakkan untuk menyertai jamuan tersebut.
Kesemua protokol tersebut adalah sebagai panduan umum, namun ia tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.
Dalam sidang media itu, Khairy juga berkata imbasan kod QR MySejahtera tidak lagi diwajibkan apabila memasuki premis atau tempat-tempat awam.
Namun, orang ramai diminta untuk tetap mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.
Sumber: BERNAMA TV