Siakap Keli
photoshoot raya paling sebak

Photoshoot Raya Paling Sebak, Suami Menitis Air Mata Pegang Potret Arwah Isteri

Photoshoot raya paling sebak, si suami menitis air mata terkenang arwah isteri yang tidak dapat sambut raya bersama.

Beberapa hari sahaja lagi Syawal akan menjelang tiba dan umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pastinya persediaan seperti kuih raya dan sebagainya telah dibuat sedikit demi sedikit.

Umumnya, Aidilfitri akan disambut meriah dengan keluarga tersayang, selain turut saling bermaafan sesama mereka di pagi raya. Kemudian akan berangkat pula bersama-sama keluarga menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid ataupun surau.

Namun dalam kita bergembira, pasti ada juga yang berduka kerana kehilangan orang tersayang sebelum tibanya Hari Raya Aidilfitri yang sepatutnya disambut bersama. Hakikatnya, kita sebagai manusia tidak mampu untuk melawan takdir yang tertulis oleh-Nya.

Walaupun begitu, kesedihan tetap merentap jiwa kita yang sememangnya diciptakan dengan pelbagai emosi, lebih-lebih lagi apabila kehilangan orang yang paling kita sayang. Sejujurnya, hari raya tidak akan lengkap tanpa salah seorang ahli keluarga yang lain.

Begitulah kisah yang dikongsikan oleh pengguna Tiktok Fitrin Ruslee yang juga merupakan seorang jurugambar dan juruvideo. Dalam satu video terkini, difahamkan dia sedang melakukan ‘photoshoot’ raya bersama-sama sebuah keluarga besar.

Sumber: TikTok

Melihat video itu, pada awalnya semuanya seakan baik-baik sahaja. Bagaimanapun sewaktu penggambaran baru hendak dimulakan, lelaki tersebut mula sebak dan teresak-esak kesedihan sambil menatap bingkai gambar di tangannya.

Rupa-rupanya, apa yang menyentuh hati adalah mereka baru sahaja kehilangan salah seorang ahli keluarga yang juga merupakan isteri kepada lelaki dalam video tersebut.

Dan apa yang lebih sebak, bingkai potret yang dipegang kemas di tangannya itu adalah gambar arwah isterinya yang baru sahaja ‘kembali’ ke Rahmatullah baru-baru ini  dipercayai akibat kanser dan wabak COVID-19.

Tidak lagi mampu menahan segala rasa sedih yang menggunung di sebalik wajah, akhirnya terjurailah air mata pilu si lelaki itu biarpun suasana tersebut  dirakam lensa kamera bagi sesi penggambaran mereka sekeluarga.

Menurut video yang dikongsikan, warna kuning lembut yang digayakan oleh mereka sekeluarga sebenarnya adalah pilihan arwah sendiri kerana ia adalah warna kesukaannya.

Turut berada dalam video tersebut adalah bapa kepada arwah yang juga memegang potrait wajah arwah dengan pakaian bewarna kuning lembut. Namun, bak kata pepatah, segarang-garang seorang ayah, hilangnya anak perempuan, hilanglah juga ‘dunianya’.

Ikuti video yang kami sertakan di bawah.

@fitrinruslee

Rindu yg tiada penghujung. potrait raya keluarga Rahman #fyp #fypdongggggggg #studioraya #fitrinruslee

♬ original sound – Fitrin Ruslee – Fitrin Ruslee

Apa kata warganet

Video tersebut tular di media sosial dan telah ditonton sehingga lebih 486,000 kali tontonan setakat artikel ini ditulis.  Malah ia juga turut meraih pelbagai reaksi berbeza daripawa warganet, rata-rata mereka cukup sebak melihat suasana itu.

Tidak kurang juga, juruvideo tersebut, Fitrin Ruslee turut berkongsi nama sebenar arwah di ruangan komentar bagi memberi peluang kepada warganet untuk mendoakannya.

“Al-Fatihah. Semoga roh arwah Hanis Rahman ditempatkan bersama para nabi, siddiqin (orang-orang yang benar), syuhada’ (orang-orang yang syahid)  dan solihin (orang-orang yang soleh). Amin,” katanya.

Sementara itu, beberapa warganet lain turut melontarkan rasa sebak mereka. Malah ada juga yang berkongsi pengalaman hampir serupa dengan nasib menimpa suami arwah.

“Isteri abang dah tujuh bulan menghadap Illahi akibat COVID-19 durjana. Raya tahun pertama tanpa arwah. Rindu sangat-sangat pada arwah. Al-Fatihah,” kata pengguna TikTok bernama @@DET.

“Terus kuat bang, semoga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman dan mendapat syurga Allah,” kata warganet bernama Hamdan Mubarak.

Sumber: Fitrin Ruslee

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.