Siakap Keli
Gambar hiasan. (Kredit: Network for Public Health Law)

Dua Lebih Baik Daripada Seorang: Pakar Kesihatan Menekankan Perlindungan Ibu Hamil dan Anak daripada Penyakit Berjangkit

Kuala Lumpur, 28 April, 2021 — Satu tinjauan dalam talian yang dijalankan oleh Immunise4Life (IFL) baru-baru ini, telah mengenal pasti beberapa jurang pengetahuan serta amalan imunisasi kanak-kanak dan ibu, dalam kalangan golongan ibu dan ibu hamil.

Bagi merapatkan dan menangani jurang tersebut, IFL, di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) serta Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC), telah menganjurkan forum media yang bertajuk ‘Suntikan Kasih Sayang untuk si Ibu & Anak’ sempena Minggu Imunisasi Sedunia. Sesi tersebut telah dirasmikan oleh, Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Forum media tersebut akan diikuti dengan sebuah siri video pendidikan awam, yang boleh ditonton di platform media sosial IFL antara bulan Mei dan Jun, tahun 2022. Kedua-dua inisiatif ini adalah hasil usaha sama antara Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Pembanteras Mitos Perubatan Malaysia (M3), MedTweetMy (MTM) dan Persatuan Perinatal Malaysia (PSM).

Mengutamakan Perlindungan Ibu Hamil dan Kanak-kanak Terhadap Jangkitan

Dalam ucapan perasmiannya, YB Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa kesihatan ibu dan anak telah menjadi salah satu tumpuan utama kerajaan Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu. Hasilnya, nisbah kematian ibu bagi setiap 100,000 kelahiran hidup di Malaysia pada tahun 2018 berjaya dikurangkan kepada 23.8, berbanding 280 kematian pada tahun 1957.

“Bilangan kematian kanak-kanak di bawah lima tahun juga telah berkurang daripada 70.2 pada tahun 1965, kepada 6.9 pada tahun 2020 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup. Pengurangan yang ketara ini (90.2%), meletakkan Malaysia setaraf dengan negara-negara maju yang lain.”

Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, inisiatif imunisasi kanak-kanak dan ibu telah menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kadar kematian yang rendah. Tambah beliau, KKM memulakan Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) pada tahun 1950-an, dan pada mulanya hanya sebilangan kecil vaksin yang disediakan secara percuma di klinik KKM.

Walau bagaimanapun, “Kini, PIK melindungi kanak-kanak Malaysia daripada tiga belas jenis penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin,” katanya.

Beliau juga menerangkan bahawa KKM memulakan program imunisasi ibu pada tahun 1976 dengan menyediakan vaksin antitetanus (ATT) secara percuma kepada semua wanita hamil.

Bertujuan untuk melindungi ibu dan bayi yang baru lahir daripada jangkitan tetanus dan komplikasi, program ini masih diteruskan hingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, KKM kini merancang untuk meningkatkannya dengan memperkenalkan vaksin Tdap, yang bukan sahaja akan melindungi ibu dan kanak-kanak daripada tetanus, tetapi juga difteria dan pertusis.

Program vaksinasi COVID-19 bagi wanita hamil, kanak-kanak antara lima dan sebelas tahun (PICKids), serta remaja antara dua belas dan tujuh belas tahun (PICK-R) mencerminkan usaha konsisten KKM untuk melindungi golongan ibu, bayi baru lahir dan kanak-kanak daripada jangkitan secara berterusan. Beliau menekankan kepentingan menepati masa dalam mendapatkan vaksinasi untuk wanita hamil dan kanak-kanak.

Kaum Ibu Kurang Kesedaran Tentang Imunisasi Ibu

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal IFL, Datuk Dr Zulkifli Ismail menjelaskan bahawa, berdasarkan tinjauan, tidak ramai responden yang mengetahui bahawa vaksin Tdap (21.8%) dan influenza (26.9%) adalah disyorkan semasa kehamilan. Namun sebaliknya, kesedaran tentang keperluan vaksin COVID-19 (72.8%) dan ATT (63.7%) adalah tinggi.

Hal ini kerana kedua-dua vaksin ini diberikan secara percuma oleh KKM, manakala Tdap dan influenza tidak. Beliau juga menekankan bahawa hanya 64.2% responden yang tahu bahawa imunisasi ibu boleh melindungi ibu dan bayi yang baru lahir. Majoriti (78.7%) menyangkakan hanya si ibu sahaja yang dilindungi, manakala 11.9% lagi tidak pasti akan manfaat imunisasi tersebut.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Ketua Sektor Penyakit Cegahan Vaksin/ Bawaan Makanan & Air, KKM, Dr Mohd Hanif Zailani menekankan bahawa walaupun sesetengah vaksin ibu dan kanak-kanak mungkin tidak tersenarai dalam sebelas vaksin yang diberikan secara percuma dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP), ia tetap penting. “Saya ingin menggesa ibu bapa untuk mendapatkan semua vaksin ibu dan kanak-kanak yang disyorkan, terutamanya jika mereka mampu berbuat demikian,” katanya.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi dan Pakar Perubatan Maternal-Fetal di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Jamiyah Hassan menerangkan bahawa banyak negara telah memperkenalkan vaksin Tdap untuk menggantikan vaksin ATT bagi mengatasi peningkatan kes pertusis dalam kalangan kanak-kanak.

Beliau menambah bahawa Malaysia sedang mengalami peningkatan kes pertusis, dengan 70% daripadanya melibatkan bayi di bawah enam bulan yang terlalu muda untuk diberi vaksin, atau belum melengkapkan program vaksinasi mereka.

Bayi-bayi ini selalunya mendapat jangkitan pertusis daripada ibu dan ahli keluarga terdekat yang dijangkiti. “Bayi baru lahir dan bayi lebih berkemungkinan mengalami komplikasi pertusis yang serius, yang boleh membawa kepada kematian,” katanya.

Oleh itu, vaksinasi ibu hamil terhadap pertusis mempunyai dua kepentingan:

Ia akan 1) memindahkan antibodi daripada ibu kepada janin melalui plasenta, dan ini akan memberi perlindungan kepada anak tersebut dari lahir sehingga dia boleh diberi vaksin; 2) mengurangkan kemungkinan si ibu memindahkan pertusis kepada anak dalam kandungan. Prof Dr Jamiyah berkata, “Saya memuji hasrat KKM untuk memasukkan Tdap ke dalam program imunisasi ibunya. Saya harap ia akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.”

Beliau juga menekankan kepentingan mendapatkan vaksin influenza ketika hamil kerana, sama seperti wanita hamil diketahui mengalami simptom Covid-19 yang lebih teruk, mereka juga berisiko mendapat komplikasi selesema yang lebih serius. Beliau berkata, “Ramai yang mungkin sudah lupa, tetapi semasa wabak influenza H1N1, kebanyakan mangsa kematian terdiri daripada ibu yang mengandung. Kita tidak boleh leka — memberi vaksin kepada ibu hamil untuk melawan penyakit berjangkit yang boleh dicegah ini adalah perkara yang seharusnya dilakukan.”

Patuhi Jadual Imunisasi Kanak-kanak dan Ibu

Datuk Dr Zulkifli Ismail menekankan bahawa walaupun kebanyakan responden (92.9%) bersetuju, atau sangat bersetuju tentang kepentingan pemvaksinan kanak-kanak mengikut jadual, ada yang masih tidak dapat mendapatkannya. Di kalangan responden kajian, 15.5% telah terlepas atau terlewat mendapatkan imunisasi untuk anak mereka, dan 0.5% tidak memberikan vaksin kepada anak mereka sama sekali. Antara sebab terlewat atau terlepas janji temu vaksin kanak-kanak yang paling kerap diberikan, tetapi boleh dielakkan, ialah “terlupa” atau “terlalu sibuk”, diikuti dengan isu logistik/pengangkutan dan keselamatan.

Pakar Perunding Pediatrik & Neonatologi, Dato’ Dr Musa Mohd Nordin menggesa ibu bapa supaya mematuhi jadual imunisasi anak mereka. Beliau menegaskan bahawa semakin lama ibu bapa menangguhkan imunisasi si kecil mereka, semakin lama anak tersebut akan terdedah kepada penyakit berjangkit yang mengancam nyawa.

“Anda pasti tidak akan meletakkan bayi anda di tempat duduk kereta semasa kereta bergerak, bukan?Kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

Beliau menambah bahawa jika ibu bapa secara tidak sengaja terlepas janji temu imunisasi anak mereka, mereka harus menghubungi klinik untuk menjadualkan semula secepat mungkin.

Beliau berkata, “Terdapat ibu bapa yang telah dua tahun melewati janji temu imunisasi anak mereka yang tertentu. Dalam keadaan ini, apakah yang mereka harus buat? Sesetengah vaksin seperti pneumokokus, difteria, pertusis dan polio, boleh dan harus diberikan walaupun kanak-kanak itu telah mencapai umur tiga atau empat tahun. Bincanglah dengan doktor atau pakar pediatrik anak anda untuk menentukan langkah yang terbaik bagi si kecil anda.”

Prof Jamiyah menekankan bahawa jadual imunisasi ibu juga hendaklah dipatuhi. Menurut beliau lagi, pematuhan jadual itu semasa peringkat kehamilan yang betul bertujuan untuk memberi perlindungan optimum kepada ibu dan bayi oleh antibodi spesifik vaksin melalui pemindahan plasenta yang optimum.

Pn Iman Abdul Rahim, seorang penulis blog terkenal dan ibu kepada dua anak berkongsi pengalamannya, “Saya cuba sedaya upaya untuk tidak terlepas jadual imunisasi, sama ada untuk anak saya atau ketika saya hamil. Saya menetapkan peringatan dalam telefon, dan memastikan tiada kerja atau komitmen lain pada tarikh suntikan vaksin. Suami saya yang mengetahui jadual anak kami juga amat membantu. Hal ini kerana dia boleh mengambil alih jika ada keperluan.”

Imunisasi Kanak-kanak dan Ibu Adalah Selamat

Datuk Dr Zulkifli menekankan bahawa bagi responden, keselamatan berkaitan imunisasi kanak-kanak bukanlah isu yang besar berbanding imunisasi ibu. Di kalangan responden, 81.5% bersetuju atau sangat bersetuju bahawa vaksin yang diberikan kepada kanak-kanak adalah selamat, manakala hanya 62.8% sahaja yang bersetuju atau sangat bersetuju bahawa vaksinasi yang diberikan kepada wanita hamil adalah selamat.

Prof Jamiyah berkata keadaan ini mungkin disebabkan kerana kurangnya kesedaran umum dalam kalangan kaum ibu tentang imunisasi ibu. Beliau memberi jaminan kepada ibu bapa dan bakal ibu bahawa KKM tidak meluluskan penggunaan ubat, termasuk vaksin, pada wanita hamil di Malaysia melainkan kajian yang ekstensif telah dijalankan untuk membuktikan keselamatannya. Oleh itu, kaum ibu tidak perlu ragu-ragu untuk mendapatkan vaksin dan mereka harus berunding dengan doktor mereka tentang sebarang kebimbangan yang mungkin mereka alami.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat Immunise4Life di [email protected] atau hubungi Cik Syarifah Noratiqah (no. telefon: 017-629 5408) atau Cik Julaikha (no. telefon: 017-349 2307).

Amira

Love yourself.