Siakap Keli
kisah yanuar
Gambar via Indo Zone

Kisah Yanuar, Kanak-kanak Buta Yang Hafal Al-Quran Hanya Dengan Mendengar

Kisah Yanuar, seorang kanak-kanak lapan tahun yang cacat penglihatan berjaya hafal Al-Quran dengan hanya mendengar.

Pada sesetangah orang, lahir dengan kekurangan fizikal mungkin dianggap lemah dan tidak berupaya. Namun sebenarnya, mereka mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding kita yang dianggap sempurna.

Begitulah kisah seorang budak lelaki lapan tahun dari Indonesia, Yanuar Nur Sofian yang hanya menghafal Al-Quran dengan bergantung kepada pancaindera pendengaran kerana dilahirkan buta sejak kecil lagi.

Menurut Indo Zone, putera pasangan suami isteri Muksim Suyoso dan Ina Kusumawati ini dilahirkan dengan kedua-dua retina bola mata yang kurang sempurna menyebabkan dia tidak mampu untuk melihat dengan jelas seperti kanak-kanak lain.

Walaupun dilahirkan dengan kekurangan fizikal, Yanuar dianugerahkan dengan daya ingatan yang sangat kuat hingga mampu untuk menghafal sebahagian besar ayat suci Al-Quran.

“Dia juga sentiasa bersemangat untuk mempelajari Al-Quran walaupun dalam keadaan kekurangangan,” dipetik Indo Zone. 

Meskipun dalam keadaan sibuk belajar ataupun bermain bersama rakan-rakannya, bibirnya sentiasa ‘basah’ dengan ayat suci Al-Quran untuk dihafal setiap saat.

“Ya saya suka menghafal Al-Quran, setiap pagi, petang dan juga malam, kalau ada waktu saya akan buat hafalan,” katanya, lapor Indo Zone.

Dalam pada itu, ibunya, Ina Kusumawati menjelaskan minat Yanuar menghafal Al-Quran sudah wujud sejak dia berumur enam tahun. Ketika itu, anaknya itu sering mendengarkan lantunan ayat Al-Quran sambil menghafal.

Lebih menakjubkan, kanak-kanak istimewa ini telah beberapa kali menjuarai pertandingan hafal Al-Quran.

“Saya mahukan Yanuar mampu untuk berdikari sama seperti kanak-kanak lain pada umumnya. Kelebihan yang ada pada Yanuar juga diharapkan boleh menjadi inspirasi kepada umat Islam di Indonesia,” ujar ibunya, lapor Indo Zone. 

Sumber: Indo Zone

Faiz Mustafa