Siakap Keli

Sampai Tertidur, Adik Ini Gigih Bantu Ibu Jual Kerepek Sampai Malam

Bantu ibu jual kerepek sampai tertidur.

Dalam dunia ini tiada yang sempurna, namun kita sesama manusia yang melengkapi antara satu sama lain. Ada insan dikurniakan dengan kehidupan yang memiliki serba lengkap, ada juga yang terpaksa menjalani kehidupan dalam serba kekurangan tetapi masih bersyukur dengan nikmat Allah.

Benar, setiap daripada kita tidak boleh memilih kehidupan yang diingin tetapi harus menjalani ujian dan dugaan dengan tabah.

Sama seperti satu rakaman daripada TikTok yang menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki yang tertidur di kaki lima sebuah kafe popular di Melaka ketika menjual kerepek.

Menerusi rakaman tersebut, anak kecil ini dilihat menongkat dagu dengan bakul yang berisi kerepek sambil duduk di tepi kaki lima menghadap barisan kereta yang sibuk beratur untuk memesan minuman di stesen pandu lalu.

Kelihatan ada seorang wanita yang ingin membeli jualannya tetapi setelah dikejutkan beberapa kali, adik ini tidak memberi respon. Mungkin adik ini keletihan seharian bekerja menjual kerepeknya.

(Kami tidak boleh mendedahkan wajah adik ini kerana tiada kebenaran ibu bapa)

Rakaman video yang berdurasi 36 saat ini telah mendapat perhatian ramai. Ratusan ribu tontonan dan ribuan komen sejak ia dimuatnaik di laman media sosial itu.

Terbaru, menerusi laman TikTok milik Daniel Alii ini memberitahu, orang ramai sudi menghulurkan bantuan kepada adik ini, setakat semalam jumlah terkumpul sebanyak RM1,220 telah diserahkan kepada ibunya.

Tiada kata yang diungkap, sebak dan pilu melihat anak dan ibunya yang berpelukan menangis hiba ketika menerima bantuan daripada orang ramai.

Difahamkan mereka ini tinggal di Johor dan pada musim cuti sekolah mereka membawa diri menjual kerepek di merata tempat termasuk di kawasan restoran terkenal di Melaka.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata bersimpati dengan keadaan dan nasib adik ini. Tidak kurang juga yang sanggup menghulurkan bantuan bagi meringankan beban adik ini dan keluarganya. Semoga urusan adik Acap dan keluarganya dipermudahkan.

Sumber: Danielalii

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang