Siakap Keli

Jualan Petrol Meningkat 50 Peratus Sempena Sambutan Hari Raya

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) — Beberapa stesen minyak mengalami masalah kehabisan bekalan petrol akibat berlakunya penjualan luar biasa kali ini sehingga 50 peratus dan dijangka berterusan sehingga esok susulan sambutan Aidilfitri.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata masalah ini terjadi susulan peningkatan jumlah kenderaan yang ketara apabila orang ramai balik ke kampung bagi menyambut Hari Raya.

“Pihak kami sudah maklum berlaku kehabisan minyak di beberapa kawasan dan dipercayai membabitkan kawasan di sekitar Pantai Timur.

“Kebiasaannya setiap stesen minyak akan membuat planning order sehari sebelum iaitu sekitar 20 peratus mengikut penjualan hari biasa, namun apabila ramai balik ke kampung penjualan melonjak kepada 50 peratus berbanding sebelum ini dan mengakibatkan gangguan perancangan stesen minyak berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Khairul Annuar berkata apabila perancangan stesen minyak terganggu ini mengakibatkan berlakunya kehabisan petrol di beberapa lokasi dan ada beberapa stesen minyak terpaksa ditutup untuk sementara waktu.

“Apabila berlaku peningkatan jualan, syarikat minyak tidak dapat menghantar dalam kuantiti banyak dan perlu mengagihkan sama rata kesemua stesen minyak yang kehabisan petrol dan akan mengambil masa kira-kira satu jam atau paling lama pun sehari.

“Kami pun bukan tak nak jual, dan berharap pengguna memahami situasi yang berlaku kerana kenaikan jumlah kenderaan balik kampung dan dinasihatkan untuk mengisi minyak awal dan merancang perjalanan dengan baik,” katanya.

Sementara itu, satu perkongsian berhubung isu ini telah dimuat naik seorang pengguna Twitter @shasyaedora atau nama sebenar Fatin Syazana Kamarul Zaman, 30, yang memaklumkan kejadian stesen minyak kehabisan petrol berlaku sewaktu dia bertolak dari Kota Bharu, Kelantan ke Pulau Perhentian, Terengganu.

“Saya berhenti di stesen minyak di Saujana, Setiu kira-kira 8 malam untuk ke tandas dan di situ dapat lihat memang banyak kereta tersadai dan seorang daripada mereka berkongsi berada di lokasi ini daripada petang lagi kerana kehabisan minyak.

“Dan dalam perjalanan menuju ke Pulau Perhentian ada beberapa stesen minyak tutup, kalau buka pun hanya minyak RON 97 dan diesel sahaja yang dijual…rata-rata RON95 dah habis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Fatin juga turut berkongsi situasi yang berlaku apabila tiada air di stesen berkenaan dan kedai makan kehabisan stok makanan dan beberapa kereta yang bergerak akibat terlalu banyak kenderaan berada di jalan.

Menurut Siti Marina Mohamad Adilla, 22, yang bekerja di sebuah stesen minyak di Taman Tun Dr Ismail di sini, sebelum ini pun sudah berlaku kehabisan bekalan petrol dengan cepat iaitu pada 29 April lepas.

“Di stesen minyak ini kami mempunyai lapan tangki dan empat daripadanya adalah RON 95 dan pada 29 April lepas satu daripada tangki minyak kami sudah tinggal 500 liter minyak padahal semalam (sehari sebelum itu) baru isi 14,500 liter.

“Dan hari yang sama (29 April) tu kami ada tambah lagi 10,700 liter minyak tapi dalam pukul 6.30 petang minyak dalam tangki itu cuma tinggal 500 liter,” katanya.

Marina berkata pihaknya sudah menjangka dalam dua hingga tiga hari sebelum raya memang akan ramai mengisi minyak oleh sebab itu pihaknya sudah membuat persiapan awal namun tidak menjangka empat tangki RON 95 di stesen berkenaan tetap berkurang kesan penjualan begitu tinggi.

Sumber: BERNAMA

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

" "