Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo telah mengumumkan nama bayi perempuannya yang baru dilahirkan pada 18 April lalu.
Memetik laporan Mirror, Ronaldo dan pasangannya, Georgina Rodriguez menamakan bayi mereka sebagai Bella Esmeralda.
Pengumuman itu dilakukan beberapa minggu selepas pemergian bayi lelaki, yang juga kembar kepada bayi perempuan mereka itu.
Difahamkan, bayi lelaki mereka itu meninggal dunia sejurus selepas dilahirkan.
Terdahulu, Ronaldo berkongsi beberapa foto di Instagram yang memaparkan bayi perempuannya itu dengan kapsyen ‘Forever love’.
Setelah beberapa hari di hospital, bayinya itu dilaporkan sudah dibenarkan pulang ke rumah.
“Home sweet home. Georgina dan bayi perempuan akhirnya dapat pulang ke pangkuan kami.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas kata-kata yang baik. Sokongan anda sangat penting dan kami semua merasakan kasih sayang dan rasa hormat yang ditunjukkan oleh anda,” katanya.
Sebelum ini, Ronaldo dan keluarganya dibanjiri dengan mesej sokongan selepas dia mengumumkan mengenai kematian anak lelakinya.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami ingin mengumumkan bahawa bayi lelaki kami telah meninggal dunia.
“Ia adalah kesakitan paling hebat yang boleh dirasai oleh mana-mana ibu bapa,” katanya dalam satu kenyataan ketika itu.
Ronaldo dan Georgina sebelum itu telah memaklumkan kepada dunia mengenai bayi kembar mereka pada Oktober 2021.
Sumber: Mirror