Seorang bapa naik angin dan bergusti dengan kira-kira 30 pelajar selepas berang anaknya dibuli oleh pelajar-pelajar di sekolah mereka baru-baru ini, lapor Daily Star.
Menurut laporan, pergaduhan besar di Sekolah Tinggi Tuscon, Arizona itu tercetus selepas bapa berkenaan, Willie Smith, 40, tekad untuk berjumpa dan bergaduh dengan pembuli-pembuli terbabit.
Merujuk kepada aduan, Smith pada awalnya dipanggil pihak sekolah untuk menjemput anaknya yang dihantar ke rumah setelah dibuli oleh sekumpulan pelajar di sekolah itu.
Difahamkan, Smith dinasihatkan oleh kakitangan sekolah untuk membawa anak lelakinya keluar melalui pintu belakang sekolah dan bukannya pintu masuk utama di bahagian depan.
Namun laporan menunjukkan, bapa tersebut tidak menerima nasihat itu dan menolaknya, lantas membawa anak lelakinya (yang dibuli) melalui halaman sekolah (dipercayai lokasi kejadian).
Seiring rasa berang yang menyelimuti emosi, Smith memberitahu kakitangan sekolah bahawa isu buli tersebut adalah perkara yang ‘berterusan’, malah dia juga bertegas dengan mereka dengan ayat berbunyi, “Jika ia turun, ia akan turun di sini”.
Justeru difahamkan, apabila kedua-dua anak lelaki Smith didakwa terlibat dalam pergaduhan itu, bapa berkenaan mengikuti mereka lalu ‘tampil’ dalam pertempuran bersama dengan pelajar berkenaan.
Akhirnya kedua-dua pihak (Smith & anak – pelajar lain) melepaskan tumbukan masing-masing hinggalah membawa kepada pergaduhan besar. Namun tidak dipastikan pihak mana yang memulakan dahulu.

Dalam rakaman video yang sempat dirakam oleh individu yang berada di lokasi kejadian, jelas kelihatan bapa tersebut ‘bertarung’ dengan ramai pelajar yang jumlahnya dipercayai seramai 30 orang.
Difahamkan, pegawai keselamatan yang berada di lokasi kejadian juga turut kelihatan cuba meleraikan pergaduhan besar tersebut.
Bagaimanapun menurut laporan, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, malah alatan seperti senjata juga dipercayai tidak digunakan dalam pergaduhan tersebut.
Namun polis menyatakan, bapa pelajar yang menjadi ‘watak utama’ pergaduhan itu akhirnya ditahan bersama seorang lagi remaja berusia 15 tahun.
Menurut Daily Star, Smith ditahan polis atas pertuduhan jenayah mengganggu ketenteraman sekolah kerana disyaki memulakan pergaduhan itu, manakala remaja terbabit ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh.
Sumber: Daily Star