Sebut sahaja mengenai kisah seram di hospital, pasti ramai yang dapat membayangkan pelbagai peristiwa yang menakutkan.
Walaupun kebanyakan kisah tersebut tidak diketahui kesahihannya namun ia tetap akan membuatkan kita ‘kecut perut’ dan mungkin tidak dapat tidur lena.
Bercakap mengenainya, baru-baru ini tular satu video seram di hospital yang dimuat naik oleh seorang pengguna di forum Reddit.
Memetik laporan Mothership, video yang dimuat naik pada 2 Mei lalu itu membuatkan penonton meremang kerana satu ‘kelibat misteri’ berjaya dirakam.
Difahamkan, video itu telah dirakam oleh kakitangan penyelenggaraan di wad hospital terbiar di California pada waktu lewat malam.
Menerusi video itu, lelaki tersebut menyiarkan rakaman yang menunjukkannya berjalan melalui lorong hospital.
Menurutnya, dia memutuskan untuk merakam video selepas seorang pengawal keselamatan yang bekerja di sana memberitahunya bahawa dia telah melihat sesuatu yang tidak dapat dijelaskan dan merasa bahawa dia ‘hilang akal’.
Rakaman tersebut memaparkan lelaki itu berjalan melalui wad dan memegang telefon bimbitnya dalam keadaan tidak stabil.
Sosok serba hitam
Setelah merakam di pelbagai sudut, satu ‘sosok’ lembaga hitam dapat dilihat muncul dari depan pintu menuju ke hujung lorong.
Bagaimanapun, ‘sosok’ itu kemudian dilihat hilang selepas pekerja tersebut mengalihkan kembali kameranya ke pintu itu.
“Pengawal keselamatan di sana melihat sesuatu dan mahu orang lain turut melihatnya kerana menyangka bahawa dia hilang akal,” kata lelaki tersebut.
Video tersebut mendapat perhatian dan menjadi topik perbincangan yang hangat dalam kalangan peminat paranormal.
Ada yang bertanya mengapa lelaki itu mengalihkan kamera semula ke pintu tersebut jika dia tidak sedar bahawa ada sesuatu di situ pada mulanya.
Selain itu, ada yang percaya dan berkata mereka merasakan ‘sosok misteri’ itu ‘terlalu gelap’ untuk menjadi manusia.
“Bukan hantu tetapi kebanyakan lampu kelihatan menyala. Sepatutnya terdapat sekurang-kurangnya beberapa warna yang terpantul pada sosok itu tetapi saya tidak dapat melihat apa-apa selain hitam gelap,” kata seorang lagi netizen.
Malah, ada juga netizen yang memohon pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian itu walaupun ia video palsu.
Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada video itu telah disunting atau tidak.
Sumber: Mothership