Siakap Keli

348 Kes Dilapor Setakat Ini, WHO Kaji Kaitan COVID-19 Dengan Hepatitis Akut Misteri Libatkan Kanak-kanak

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan pihaknya kini sedang mengkaji potensi peranan adenovirus dan Covid-19 dengan penyakit hepatitis akut misteri. Setakat ini, sebanyak 348 kes hepatitis akut misteri berjaya dikenal pasti di seluruh dunia.

Buat masa ini, WHO menjelaskan hipotesis utama kekal ia berkemungkinan membabitkan adenovirus.

Kes-kes hepatitis akut misteri ini dilaporkan di 20 negara dengan tambahan  70 kes lagi membabitkan 13 negara yang masih menanti keputusan ujian.

Daripada jumlah berkenaan, hanya 6 negara yang mencatatkan lebih 5 kes dengan Britain mencatatkan lebih 160 kes.

”Sejak beberapa minggu lalu, ada kemajuan yang dicapai menerusi ujian-ujian yang dibuat dan penambahbaikan terhadap hipotesis,” kata Philippa Easterbrook, wakil WHO.

Katanya lagi, Britain ketika ini menyediakan kajian yang komprehensif membabitkan genetik kanak-kanak yang dijangkiti, respon sistem imun, virus-virus dan kajian lanjut epidemiologikal.

WHO sebelum ini dimaklumkan dengan 10 hingga 15 kes hepatitis akut misteri yang menjangkiti kanak-kanak di Scotland, termasuk 5 kes kematian.

”Buat masa ini, hipotesis utama kekal melibatkan adenovirus, yang mana ia menjadi pertimbangan penting mengenai peranan Covid sama ada ia co-infection ataupun past infection” katanya.

Ujian lanjut yang dibuat minggu-minggu lalu juga mendapati 70 peratus daripada kes diuji positif dengan adenovirus, sub-jenis 41, yang biasanya dikaitkan dengan gastroenteritis, iaitu sub-jenis yang lazim.

Selain itu, ujian yang dibuat juga menunjukkan 18 peratus kes secara aktif positif Covid-19.

”Tumpuan utama minggu-minggu akan datang pula akan melihat kepada ujian serological untuk pendedahan dan jangkitan Covid sebelum ini,” katanya lagi.

Dalam tempoh-tempoh minggu berkenaan, data berkenaan kajian kes terkawal daripada Britain yang membandingkan sama ada kadar pengesanan kes adenovirus berbeza dengan kanak-kanak yang dimasukkan ke hopsital dijangkan akan diperolehi.

”Ia akan membantu kami memperincikan pemahaman sama ada adenovirus adalah kesan jangkitan sampingan yang dikesan, atau ia penyebab atau kemungkinan penyebab,” tambah Easterbook lagi.

Selain itu katanya, ujian mikroskopik ke atas sampel hati dan biopsies tidak menunjukkan sebarang  ciri-ciri tipikal keradangan hati akibat adenovirus seperti yang dijangka.

Adenovirus diketahui biasanya tersebar melalui sentuhan rapat, titisan air pernafasan dan juga permukaan. Ia secara amnya akan menyebabkan gejala pernafasan, konjunktivitis atau gangguan pencernaan.

WHO merujuk penyakit keradangan hati yang menyerang kanak-kanak ini sebagai Hepatitis Akut Misteri yang tidak diketahui asal-usulnya.

Di Asia Tenggara, Indonesia melaporkan kematian tiga kanak-kanak akibat hepatitis akut misteri ini.

Majoriti kes merekodkan jaundis dan simptom-simptom gastrointestinal seperti sakit perut, cirit-birit dan muntah. Manakala ada kes lebih serius melibatkan kegagalan organ hati yang memerlukan pembedahan pemindahan hati.

Selepas penemuan 169 kes, WHO memaklumkan virus hepatitis yang sudah diketahui (A, B, C, D dan E) tidak ditemui dalam sampel-sampel kes.

Sumber: AFP

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.