Siakap Keli
lelaki terima jantung babi
Gambar via New York Times

Doktor Dedah Temui DNA Virus Dalam Jantung Babi

Punca kematian manusia pertama menerima jantung babi yang meninggal dunia dua bulan lalu didakwa mungkin disebabkan oleh penemuan DNA virus dalam organ haiwan itu, lapor Independent.

Lelaki penerima jantung tersebut, David Bennett Sr., 57, dari Maryland itu meninggal dunia pada Mac lalu iaitu dua bulan selepas membuat pemindahan jantung babi ke dalam tubuhnya.

Penyelidik yang cuba mencari punca mengapa individu itu maut akhirnya telah menemui jawapan, namun mereka belum dapat memastikan adakah ia punca sebenar kematiannya.

Menurut seorang doktor dari Universiti Maryland yang terlibat dalam pembedahan itu, mereka menemui sesuatu yang mengejutkan, iaitu DNA virus di dalam jantung babi tersebut.

Difahamkan, virus yang dipanggil porcine cytomegalovirus itu pada asalnya dipercayai tidak menunjukkan tanda-tanda yang menyebabkan jangkitan secara aktif.

Namun, apa yang lebih membimbangkan adalah proses pemindahan organ haiwan ke manusia tersebut yang dipercayai boleh beri risiko  jangkitan baharu kepada manusia.

Menurut pakar bedah yang melakukan pemindahan Bennett, Dr. Bartley Griffith,”Sesetengah virus bersifat “terpendam” yang bermakna ia bersembunyi tanpa menyebabkan jangkitan atau penyakit dan ia boleh menjadi pendorong,” katanya kepada The Associated Press.

Memetik kajian saintifik yang diberikan Dr. Griffith kepada Persatuan Pemindahan Amerika bulan lepas, penemuan virus haiwan itu pertama kali dilaporkan oleh MIT Technology Review.

“Seiring dengan kecanggihan dalam bidang perubatan, (ia) memastikan kita tidak akan terlepas dengan (penemuan) virus seperti ini,” kata pengarah saintifik program xenotransplant universiti itu, Dr. Muhammad Mohiuddin.

Pesakit berubah menjadi teruk lepas bedah

Dr. Griffith menjelaskan, pesakitnya itu pada asalnya menunjukkan keadaan yang baik selepas proses pemindahan itu, namun apabila bangun pagi, keadaan sebaliknya berlaku.

Difahamkan, kondisi Bennett menjadi semakin teruk dan doktor telah memberikannya pelbagai antibiotik, ubat antivirus dan rawatan untuk meningkatkan imunisasinya namun gagal.

Menurut Independent, jantung babi itu didapati menjadi bengkak dan dipenuhi dengan cecair sehinggalah ia berhenti berfungsi tanpa dijangka.

“Apa yang dilakukan oleh virus itu sehingga menyebabkan bengkak di dalam jantungnya? Sejujurnya, kami tidak tahu,” jawab Dr. Griffith.

Imbas kembali, selama beberapa dekad dahulu, pihak perubatan telah membuat beberapa percubaan menyelamatkan manusia menggunakan organ haiwan, namun ia tidak berjaya.

Bagaimanapun, Bennet yang asalnya tidak layak menerima pemindahan jantung manusia kerana sudah nazak akhirnya menjalani prosedur pemindahan terakhir menggunakan jantung babi.

Difahamkan, jantung babi yang diterimanya itu sudah diubah suai secara genetik bagi mengurangkan risiko sistem imunisasi tubuhnya terhadap organ asing.

Dalam masa sama, babi yang menjadi ‘penderma’ kepada Bennett itu dikatakan sihat dan telah lulus dalam ujian oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah, iaitu bebas daripada sebarang jangkitan.

Tambah pihak Maryland, babi tersebut dipelihara dalam fasiliti yang direka khas bagi menghalang haiwan itu daripada menyebarkan sebarang penyakit.

Bagaimanapun, ekoran kematian Bennett yang didakwa berpunca daripada DNA virus babi, syarikat penyedia babi tersebut, Revivicor enggan mengulas panjang mengenainya.

Sumber: The Independent

Muhd Iqbal

Editor: Adnin Razak
" "