Siakap Keli
Gambar: Kosmo Online

Budak Perempuan Maut, Ibu & Kakak Parah Dalam Nahas Kereta Bertembung Treler

Seorang budak perempuan maut manakala ibu dan kakaknya parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler yang membawa muatan kereta dalam nahas di Kilometer 54.1, Jalan Kota Bharu menuju ke Kuala Krai semalam.

Mangsa, Nur Faqihah Nahdrah Noorfakrumuzi, 4 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah pada bahagian dalaman badan dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.30 malam semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohamad Rusli Mat, hasil laporan siasatan mengesahkan kejadian berlaku sewaktu sebuah treler yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 44 tahun itu sedang dalam perjalanan menghantar kereta dari laluan Kuala Krai menuju ke Kota Bharu.

Semasa tiba di lokasi kejadian, dipercayai pemandu treler terbabit bertindak menekan brek sehingga menyebabkan hilang kawalan dan berpusing sebelum bahagian ekor trelernya menghentam bahagian kepala kenderaan berat itu, dakwanya.

“Insiden tersebut menyebabkan pemandu treler gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta jenis Perodua Bezza dinaiki oleh tiga beranak itu.

“Kejadian itu turut mengakibatkan kereta yang dipandu ibu mangsa, Siti Nadiah Mat Ghazi, 33, yang merupakan Penolong Pegawai Veterinar telah diheret ke sebelah kiri jalan menghala ke Kuala Krai,” memetik laporan Kosmo!

Menurut Mohamad Rusli, anggota bomba dan penyelamat Machang berjaya mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit dalam kereta dalam kejadian itu.

Tambahnya lagi, mayat kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Machang untuk proses bedah siasat

Manakala ibu dan kakaknya yang berumur enam tahun dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Kosmo!, pemandu treler berkenaan telah ditahan polis bagi membantu siasatan dan kes itu di siasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Kosmo! Online

 

Muhd Iqbal

Editor: Adnin Razak
" "