ALOR SETAR, 12 Mei (Bernama) — Kedah merekodkan sebanyak 102 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bagi tempoh 1 hingga 7 Mei lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata bilangan kes tertinggi didaftarkan di daerah Kuala Muda iaitu sejumlah 29 kes, diikuti Kota Setar (22 kes) dan Padang Terap (17 kes).
“Ini menjadikan kumulatif kes HFMD pada 2022 sebanyak 1,016 kes iaitu peningkatan sebanyak 46.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2019. (Sebanyak) 26 wabak juga dilaporkan berlaku dalam tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Mohd Hayati berkata trend peningkatan kes HFMD di Kedah pada tahun ini amat ketara dan telah melebihi paras ambang epidemik.
Sehubungan itu, dalam suasana sambutan raya ini, beliau menasihati orang ramai terutama yang mempunyai anak kecil supaya mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko jangkitan termasuk amalan cuci tangan dengan kerap, menjaga kebersihan persekitaran dan melalukan nyahkuman pada permukaan yang tercemar.
“Ibu bapa juga dinasihati untuk membawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan (terutama demam dan ruam di tangan, kaki dan mulut), serta tidak membawa anak-anak ke tempat awam yang sesak seperti kolam renang, pasar, pusat beli-belah dan stesen bas.
“Elakkan menghantar anak yang menunjukkan gejala atau tanda jangkitan ke pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah,” katanya.
— BERNAMA