TAIPING 13 Mei (Bernama) — Pasukan forensik sedang menggunakan rekod pergigian, bagi mengesahkan identiti tiga lagi mayat pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang rentung, dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar tengah malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata rekod pergigian itu digunakan pihak forensik di Hospital Taiping, berikutan keadaan mayat yang sukar dikenal pasti bagi proses pengecaman.
“Proses pengecaman mayat ketiga-tiga pelajar itu sukar dilakukan seperti biasa dan memerlukan bukti forensik bagi mengenal pasti identiti mereka.
“Oleh itu, waris setiap keluarga telah memberikan sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang akan dihantar ke Jabatan Kimia di Cheras untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun pihak hospital sedang berusaha dengan cuba menggunakan rekod pergigian untuk membuat perbandingan dengan gigi mayat.
“Sekiranya terdapat persamaan, maka identiti mereka boleh dikenal pasti namun sekiranya tidak berjaya, kita terpaksa gunakan kaedah DNA juga,” katanya.
Katanya proses bedah siasat mayat ketiga-tiga mangsa telah selesai dan kini dalam proses menunggu pengesahan rekod pergigian, sebelum jenazah boleh dibawa pulang oleh keluarga bagi urusan pengkebumian.
Pada tengah malam Rabu, dua daripada lima pelajar USAS yang rentung dalam kebakaran kereta selepas kemalangan di KM 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar sudah dikenal pasti oleh ahli keluarga menerusi proses bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar.
Dua jenazah yang dapat dicamkan itu ialah Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, yang beralamat di Parit Buntar, Perak dan dipercayai duduk di bahagian penumpang belakang serta Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu yang duduk di tempat penumpang hadapan.
Tiga lagi dipercayai adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, yang memandu kereta, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang dan jenazah mereka dihantar ke Hospital Taiping bagi proses bedah siasat yang selanjutnya hari ini.
— BERNAMA