Siakap Keli
pelajar USAS rentung
Foto: Bernama

Jenazah Tiga Penuntut USAS Selamat Dikebumikan

KUALA LUMPUR, 14 Mei- Jenazah tiga lagi penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada tengah malam Rabu, masing-masing selamat dikebumikan di Negeri Sembilan, Selangor dan Johor, hari ini.

Jenazah Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19; Iqbal Hasnun Halimi, 23; dan Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid USAS lewat malam tadi selepas proses pengesahan mayat selesai,

Jenazah Muhammad Nasrun Aidol yang tiba di rumahnya si Taman Desa Bukit Bujang, Kuala Kubu pada pukul 2.07 pagi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kuala Kubu di sini kira-kira pukul 7.55 pagi ini.

Di NEGERI SEMBILAN, jenazah Muhammad Nabil Haikal yang tiba di kediaman keluarganya di Kampung Sungai Mahang, Nilai pada pukul 3 pagi sekali lagi disolatkan di situ pada pukul 7.50 pagi, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kariah Batang Benar di sini kira-kira pukul 9 pagi.

Suasana hiba dan pilu menyelubungi kawasan tanah perkuburan yang dihadiri kira-kira 100 orang apabila ahli keluarga Allahyarham Muhammad Nabil dilihat tidak dapat menahan sebak ketika urusan pengebumian itu dijalankan.

Bapa Allahyarham, Muhammad Fariz Amat Jusak, 49, meluahkan rasa lega selepas semua urusan membawa pulang dan pengebumian jenazah anaknya itu selesai selain menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya reda dengan pemergian arwah anak saya dan saya berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mendoakan anak saya termasuk rakan-rakannya. Hanya Allah yang dapat membalas jasa mereka,” katanya kepada pemberita di tanah perkuburan selepas selesai pengebumian.

Sementara itu di JOHOR, jenazah Iqbal Hasnun yang tiba di kediaman keluarganya di Taman Impian Jaya, Senai pada 6 pagi ini disolatkan sekali lagi di Surau Taman Impian Jaya sebelum dikebumikan Tanah Perkuburan Islam di Kampung Melayu Seelong di sini pukul 7.30 pagi.

Bapa Allahyarham, Halimi Ali Yahad, 50, ketika ditemui Bernama berkata keluarganya bersyukur kerana semua urusan arwah termasuk pengebumiannya berjalan lancar selain menghargai doa pelbagai pihak untuk anaknya itu.

“Ada yang melakukan solat hajat, membacakan doa, (surah) Yasin…ia amat bermakna dan mempermudahkan urusan arwah kerana pada awalnya proses bagi menuntut jenazahnya dikatakan memakan masa lebih lima hingga enam hari.

“Selepas solat Jumaat semalam, ada petanda ketiga-tiga jenazah dapat dicam dan dituntut pada hari sama. Kesemua keluarga berasa nikmat walaupun perit menerima kenyataan mereka sudah tiada dan nikmat paling besar adalah nilai persaudaraan insan yang tidak kami kenal yang mengambil berat kebajikan dan kebaikan untuk kami,” katanya.

Semalam, jenazah seorang lagi mangsa kemalangan ngeri itu Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hijau di Parit Buntar, Perak, manakala jenazah Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, pula dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal di Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira 12.50 tengah malam Rabu itu, lima penuntut USAS berkenaan yang menaiki kereta Honda City rentung apabila kenderaan dinaiki mereka terbakar akibat kemalangan bersama dua treler di kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di Kuala Kangsar, Perak.

Kenderaan itu dipandu Muhammad Nasrun Aidol, manakala Ahmad Naim Najmi duduk di bahagian penumpang hadapan manakala Muhammad Nabil Haikal, Iqbal Hasnun dan Ahmad Akmal, duduk di bahagian penumpang belakang.

— BERNAMA

Baca juga: Asyik Duduk Rumah Je, Ni ‘Port Gempak’ Nak Bawa Anak Hujung Minggu Ini, Siap Ada ‘Show’ Robotik

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Editor: Edayu
" "