Siakap Keli
sakit
Gambar: Twitter

“Kalau Saya Sakit Bahu, Anak Saya Sakit Kanser”, Al Jufferi Kecewa Gagal Hadiahkan Pingat Untuk Anak

Jaguh silat negara, Al Jufferi Jamari berasa kecewa tidak dapat menghadiahkan pingat kepada negara serta anak dan isterinya selepas tewas di tangan pesilat Singapura dalam kategori Kelas Putra F yang berlangsung pada hari ini kerana sakit.

Juara dunia 3 kali itu terpaksa bertarung dalam kesakitan selepas dibelenggu masalah kecederaan yang belum pulih sepenuhnya semasa menentang lawannya itu.

Beliau mengakui bahawa beliau terpaksa ketepikan rasa sakitnya itu selepas teringat akan anaknya yang menderita sakit kanser.

“Saya kuat sebab anak. Kalau saya sakit bahu, anak saya sakit kanser. Dia lagi kuat, dia budak kan.

Baca: Tetap Beraksi Walau Kesakitan, Al Jufferi Jamari Akur Tewas Di Tangan Pesilat Singapura

“Anak je ada dalam gambaran saya, anak je. Sebab dia sakit. Umur 2,3 tahun dah kena kanser,” ujarnya ketika ditemu bual oleh wartawan Arena.

Sungguhpun tumpas di tangan lawan, namun aksi yang ditonjolkan oleh Al Jufferi Jamari cukup membanggakan kerana berjaya merapatkan mata walaupun pada satu ketika ketinggalan dengan jurang yang agak banyak.

Beliau juga memastikan bahawa lawannya itu terpaksa berhempas pulas ketika menentangnya walaupun dia bertarung dalam kesakitan.

Kekalahan tersebut sekali gus menutup peluangnya untuk layak ke separuh akhir serta menyumbangkan pingat untuk negara.

Terdahulu, aksi mantap dengan kepelbagaian teknik yang ditampilkan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga memberi kelebihan kepada gandingan pesilat negara itu untuk mempertahankan pingat emas acara seni ganda putra pada Sukan SEA ke-31 di sini hari ini.

Pasangan berkenaan mengungguli acara final tersebut yang berlangsung di Pusat Sukan Bac Tu Liem (Bac Tu Liem Sporting Center), setelah memperoleh 9.905 mata untuk menewaskan pencabar mereka dari Singapura, Muhammad Hazim Mohammad Zaque dan Muhammad Haziq Mohammad Zaque.

Pasangan adik-beradik itu mengutip 9.905 mata untuk meraih perak manakala gangsa milik bersama gandingan tuan rumah, Duc Danh Tran-Hong Que Le dan AbdulKarim Yusoh-Khairulmahadi Yusoh dari Thailand yang masing-masing terpaksa akur di peringkat separuh akhir semalam.

Kejayaan Taqiyuddin dan Sazzlan yang memenangi kategori tersebut pada Sukan SEA 2019 di Filipina, sekali gus memberikan pingat emas pertama Malaysia dalam acara pencak silat pada temasya sukan berkenaan kali ini.

Sumber: Syakirah Zulkifly

Aqmal Ezany

I write what is right