Siakap Keli
Gambar via Bernama

Patutlah Sambut Hari Guru 16 Mei, Rupanya Terkait ‘Sejarah Besar’ 1956

Untuk tarikh 16 Mei, sambutan Hari Guru pasti acap kali akan disambut meriah setiap tahun. Lagi-lagi di peringkat sekolah. Kalau kat sekolah dulu, boleh tengok sendiri semua murid akan membuat pelbagai persembahan dan ada juga yang membeli hadiah menarik untuk diberikan kepada guru kesayangan mereka.

Namun tahun kebelakangan ini, sambutan itu terbatas ekoran pandemik yang melanda negara. Sedih juga bila situasi jadi macam ni. Sama ada di peringkat sekolah atau kebangsaan, semua sambutan terpaksa dibatalkan daripada disambut.

Alhamdulillah, tahun ni keadaan boleh nampak semakin baik. Sambutan perayaan juga dah boleh dilihat dapat disambut balik dengan meriah bersama keluarga dan rakan-rakan. Sambutan Hari Guru juga antara salah satu yang akan disambut.

Tapi, relevan lagi ke sebenarnya untuk ada semula sambutan Hari Guru ni. Haaa, ni la yang sebenarnya ramai tak tahu. Kalau anda semua tahu sebab perayaan ni diadakan, mesti anda akan faham yang sambutan ni masih relevan untuk diadakan setiap tahun.

 

Ramai sebenarnya yang masih tak tahu tentang signifikan sambutan Hari Guru ini. Sebelum bercerita lebih lanjut tentang sambutan, eloklah anda semua untuk mengenali serba sedikit tentang sejarah sambutan yang mustahak ini.

Mengikut sejarah, tarikh 16 Mei sebenarnya ialah tarikh penting untuk sektor pendidikan terutama pada tahun 1956. Ia adalah tarikh apabila Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran yang negara kita guna sehingga sekarang. Perkara tersebut merupakan sejarah terbesar bagi sektor pendidikan buat negara kita.

Dokumen berkenaan dikenali sebagai LAPORAN RAZAK yang telah menjadi Dasar Pelajar Kebangsaan bermula pada hari itu. Tapi, apa sebenarnya yang terkandung di dalam LAPORAN RAZAK sehingga boleh dikaitkan dengan Sambutan Hari Guru?

Jika ditelusuri penulisan ini, LAPORAN RAZAK mengandungi beberapa elemen pendidikan seperti mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan. Selain itu, ianya juga bertujuan untuk menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif. Bukan itu sahaja, laporan itu turut mengetengahkan usaha untuk mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan.

Itulah sebabnya 16 Mei dipilih sebagai tarikh untuk semua orang menghargai guru-guru seluruh negara atas segala jasa-jasa mereka.

Kepentingan Sambutan Hari Guru Setiap Tahun

Ada beberapa kepentingan sambutan ini diadakan setiap tahun buat guru. Antaranya adalah:

  1. Pelajar dapat mengambil masa ini untuk mengenang dan membalas jasa-jasa guru mereka.
  2. Hubungan antara guru dan juga pelajar dapat lebih dieratkan lagi.
  3. Menjadi satu alternatif pihak sekolah untuk mengucapkan ribuan terima kasih buat guru.
  4. Guru akan lebih sedar dan bersemangat untuk melakukan tganggungjawabnya sebagai pendidik di sekolah.
  5. Amalan menghormati guru akan dapat dipupuk dalam kehidupan pelajar.

Jadi, tidak hairanlah KPM menganjurkan Sambutan Hari guru kebangsaan di UMK pada tahun ini. Setelah tiada sambutan meriah selama dua tahun sebab pandemik, pasti sambutan tahun ini lebih meriah. Ada pelbagai aktiviti, gerai jualan, cabutan bertuah, pertandingan dan sebagainya untuk anda sertai selama 5 hari tu.

Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-51 Tahun 2022 ini berlangsung dari 12 Mei sehingga 16 Mei. Yang bestnya, anda boleh bawa anak-anak kerana aktiviti di sana sangat bersesuaian dengan mereka. Sebagai contoh ada aktiviti robotik, TikTok, belajar bahasa dan macam-macam lagi.

Jangan tunggu lama-lama dan mari terus memeriahkan sambutan Hari Guru di UMK Kampus Bachok sekarang tau.

sambutan Hari Guru

Nor Fakhry