Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kisah seorang individu yang menulis surat kepada Zakat Selangor untuk mohon berhenti daripada menerima bantuan zakat.
Kejujuran individu itu yang bersedia ‘melepaskan’ haknya dalam menerima bantuan zakat amatlah dipuji ramai.
Namun selain itu, sebenarnya turut berlaku satu lagi kejadian hampir serupa. Kali ini melibatkan seorang bekas pelajar cemerlang di sebuah universiti awam di utara Semenanjung.
Hal ini diceritakan menerusi satu perkongsian di laman Facebook Zakat Pulau Pinang baru-baru ini.
“Alhamdulillah, salah seorang graduan cemerlang di Universiti Sains Malaysia ini menerima manfaat zakat sejak tahun 2011.
“Bermula dari menerima Bantuan IPT, Bantuan Sara hidup sekaligus seterusnya menerima manfaat Bantuan Kewangan Bulanan.
“Hasil zakat yang dikeluarkan oleh pembayar zakat telah membantu ketika beliau belajar dan tiada pekerjaan tetap sebelum ini.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan, lapangkan pintu rezeki beliau dan keluarga atas sifat jujur yang ditunjukkan,” maklum perkongsian itu.
Dalam perkongsian itu, turut dimuat naik sepucuk surat yang ditulis oleh bekas pelajar berkenaan yang memohon untuk berhenti menerima bantuan zakat.
“Untuk pengetahuan pihak tuan, saya (nama beliau) bernombor kad pengenalan (dirahsiakan) seorang OKU cacat penglihatan merupakan penerima bantuan bulanan daripada pihak tuan.
“Saya memohon untuk menamatkan bantuan bulanan tersebut kerana saya telah mendapat pekerjaan tetap sebagai pegawai di (dirahsiakan).
“Saya mengucapkan Alhamdulillah dan ucapan terima kasih kepada pihak tuan yang telah menguruskan bantuan kepada saya. Sekian terima kasih,” tulisnya dalam surat itu.

Imbas kembali, menurut Zakat Pulau Pinang, satu kisah benar mengenai bekas pelajar tersebut pernah dikongsikan mereka di media sosial pada 2015 yang lalu.
Difahamkan, individu tersebut merupakan bekas pelajar OKU penglihatan yang memeluk agama Islam pada tahun 2007.
Atas ihsan USM, beliau ketika itu dapat menginap di Desa Siswa Aman Damai sehingga menerima ijazah sarjana muda di Konvokesyen USM yang ke-52.
“Beliau merupakan seorang pelajar cemerlang dan tiada pendapatan untuk meneruskan hidup. Selama ini (ketika itu) makan minum dibantu kawan-kawan dan HEP & Alumni USM.
“Bantuan sara hidup bulanan akan disalurkan sehingga beliau mendapat pekerjaan tetap, InsyaAllah,” memetik perkongsian tersebut yang ditulis pada 5 November 2015 lalu.

Sebahagian warga Facebook turut memberikan komen berbaur positif.
“Alhamdulillah. Semoga murah rezeki beliau,” kata seorang pengguna Facebook, Mior Muhammad Hafiz.
“Moga Allah bagi dia berjaya capai cita-cita dia. Berjaya dunia akhirat,” kata seorang lagi pengguna Facebook, Julieet Foxtroot.
Sumber: Facebook Zakat Pulau Pinang