Harga gandum cecah rekod tertinggi selepas India mengumumkan larangan untuk mengeksport komoditi itu ketika negara mereka dilanda gelombang haba kini, lapor NDTV.
Dikatakan, harga gandum kini telah melonjak kepada RM 1,992.29 per tan dan ia turut mencetus kebimbangan awam mengenai stok bekalannya dalam kitaran sumber makanan.
Menurut NDTV, lonjakan harga tersebut dipercayai adalah susulan daripada pencerobohan Russia ke atas pertanian Ukraine yang dikatakan menyumbang 12 peratus eksport global sejak Februari lalu.
Malah dalam masa sama, peningkatan harga itu turut diburukkan lagi dengan isu kekurangan baja dan hasil tanaman yang mengakibatkan inflasi.
Tidak kurang juga, krisis global tersebut turut dipercayai mencetuskan pergolakan sosial di seluruh dunia, lebih-lebih lagi di kawasan negara miskin.
Sebelum ini, India yang merupakan pengeluar gandum kedua terbesar di dunia itu menyatakan larangan sedemikian pada Sabtu baru-baru ini.
Difahamkan, larangan eksport gandum tersebut diisytiharkan selepas negara itu mencatatkan bacaan suhu panas paling tinggi pada Mac lalu.
Pihak kerajaan tempatan berkata, faktor pengeluaran rendah yang membimbangkan juga boleh menambahkan lagi perit krisis kekurangan makanan yang bakal dialami 1.4 bilion penduduknya sendiri.
Difahamkan, perjanjian eksport yang dipersetujui sebelum larangan itu masih boleh diguna pakai, bagaimanapun penghantaran bekalannya tetap memerlukan kelulusan kerajaan terlebih dahulu.
Larangan eksport itu telah mendapat kritikan tajam daripada Kumpulan Tujuh negara perindustrian, yang mengatakan bahawa langkah sedemikian akan memburukkan lagi krisis kenaikan harga komoditi.
India yang memiliki stok penimbal utama sebelum ini pernah berkata, mereka bersedia untuk membantu mengisi beberaa kekurangan bekalan yang disebabkan oleh krisis perang Russia-Ukraine.
Sumber: NDTV