Haji merupakan ibadah yang diwajibkan ke atas umat Islam yang mampu melaksanakannya. Pastinya setiap orang mempunyai impian untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Bagaimanapun, tidak semua orang mampu untuk melaksanakannya disebabkan oleh kekangan dari segi kewangan atau tidak berdaya kerana sakit serta faktor-faktor lain.
Bahkan, ada yang mengambil masa selama bertahun-tahun sebelum dapat mengerjakan ibadah tersebut.
Sama dengan kisah seorang lelaki dari Ghana ini yang sudah sekian lama mempunyai impian untuk menunaikan haji tetapi tidak dapat melakukannya kerana kesempitan wang.
Pun begitu, lelaki tersebut bernasib baik kerana dia akhirnya dapat melaksanakan ibadah itu dalam keadaan yang paling tidak disangka-sangka.
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah peribahasa yang sesuai untuk menggambarkan kisah lelaki yang dikenali sebagai Al Hassan Abdullah ini.
Impian tercapai
Hidup di dalam kemiskinan, Al Hassan tidak pernah keluar menjelajah ke negara luar kerana tidak mampu dari segi kewangan. Tetapi, impiannya untuk pergi ke Mekah tidak pernah luntur.
Pada tahun 2012, kakitangan dan kru saluran TV Turki, TRT tiba di kampungnya untuk mengadakan penggambaran.
Difahamkan, mereka telah menerbangkan dron dan tidak lama kemudian, dron tersebut telah terjatuh di kawasan rumah Al Hassan.
Lelaki itu dikatakan telah mengambil dron tersebut dan apabila diminta untuk menyerahkan semula kepada kru tersebut, dia memberikan soalan yang tidak terjangka.
Al Hassan bertanya kepada mereka sama ada mereka mempunyai dron yang lebih besar untuk membawa dirinya ke Makkah bagi menunaikan haji.
Selepas kisah dan gambarnya dimuat naik di media sosial, Al Hassan menjadi tular dan mendapat perhatian ramai.
Orang ramai juga turut berusaha untuk mencari cara bagi dapat menghubunginya. Daripada ahli perniagaan sehinggalah syarikat-syarikat korporat.
Kesemuanya berasa tersentuh dan cuba untuk menunaikan impian lelaki itu.
Malah, kisahnya juga telah mendapat perhatian Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu yang berkata akan meneliti perkara tersebut.
Rentetan daripada itu, Mevlut dilaporkan berminat untuk membantu Al Hassan dan menguruskan perjalanan haji buat lelaki itu.
Kerajaan Turki kemudiannya memutuskan untuk membiayai semua perbelanjaan lelaki tersebut bagi menunaikan Haji di Mekah.
Ketika dipanggil ke Istanbul, Al Hassan mengatakan bahawa dia sangat gembira semasa berada di sana.
Dia juga meluahkan rasa syukur kepada Allah SWT yang telah melimpahkan rahmat buatnya.
“Saya bersyukur kepada Allah, saya juga turut berdoa agar semua orang yang mempunyai impian untuk menunaikan Haji dapat menjadi kenyataan,” ujarnya.
Tambahnya, campur tangan baik negara Turki akan membantu mengeratkan silaturahim dan persaudaraan sesama umat Islam.
Sumber: Lifeinsaudiarabia, theislamicinformation