Siakap Keli
liverpool city epl

Jika Situasi Ini Terjadi, Liverpool & City Mungkin Perlukan Perlawanan “Playoff” Tentukan Siapa Juara EPL

Liverpool dan Manchester City yang kini dibezakan 4 mata (Liverpool berbaki 2 perlawanan, City 1) menyajikan persaingan sengit antara kedua-duanya dan berjuang habis-habisan sehingga perlawanan terakhir bagi menentukan siapakah yang bakal menjulang trofi EPL musim ini.

Bagaimanapun, dengan persembahan berintensiti tinggi dan tanpa lelah daripada kedua-dua pasukan setiap minggu, peminat bola sepak di seluruh dunia, penonton EPL amnya dan penyokong tegar kedua-dua pasukan khususnya mungkin akan menjadi saksi kepada sebuah perlawanan epik yang tak pernah terjadi sebelum ini, iaitu perlawanan playoff.

Perlawanan playoff atau tambahan satu perlawanan EPL yang mana Liverpool dan City perlu berdepan antara satu sama lain bagi menentukan kejuaraan sekiranya beberapa perkara berikut terjadi.

Sebelum kita berbicara lebih lanjut mengenai kemungkinan keputusan yang memungkinkan perlawanan playoff perlu diadakan, ayuh kita fahami terlebih dahulu format penentuan kejuaraan EPL sekiranya terdapat dua pasukan berkongsi mata yang sama di puncak liga pada akhir musim.

Format menentukan juara EPL

Pertama, sekiranya terdapat dua pasukan berkongsi mata, perbezaan jaringan akan menjadi penentu. Kedua, jika jumlah perbezaan jaringan adalah sama, jumlah jaringan yang lebih tinggi akan menentukan siapakah yang akan menjulang trofi.

Ketiga, jika jumlah jaringan adalah sama, maka pasukan yang memiliki mata terendah dalam pertemuan ‘head-to-head’ (home/away Liverpool vs Man City dalam kes ini)  musim ini akan mengisi kekosongan ditangga kedua.

Keempat, jika rekod ‘head-to-head’ kedua-dua pasukan meraih mata yang sama (Liverpool dan City seri dalam kedua-dua pertemuan liga), pasukan yang menjaringkan gol lebih banyak sebagai pasukan pelawat akan dinobat sebagai juara.

Kelima, jika kesemua format diatas gagal menentukan kejuaraan (Liverpool dan City seri 2-2, dalam pertemuan away/home liga), maka perlawanan playoff menemukan kedua-dua pasukan perlu diadakan bagi menentukan siapakah yang akan bergelar juara.

Situasi yang memungkin perlawanan playoff perlu diadakan

Selepas kita memahami cara kejuaraan liga EPL ditentukan, kini tibalah masanya untuk kita meneroka apakah keputusan-keputusan baki perlawanan kedua-dua pasukan yang boleh ‘memaksa’ perlawanan playoff diadakan.

Dalam perlawanan ke-37, City nyaris dikejutkan oleh West Ham sebelum berjaya mengikat perlawanan 2-2 untuk berkongsi 1 mata. Keputusan seri tersebut sekali lagi menghidupkan semula peluang untuk Liverpool menjulang trofi EPL buat kali kedua. City kini berbaki 1 perlawanan menentang Aston Villa.

Liverpool pula bakal membuat perhitungan perlawanan ke-37 liga pagi nanti (waktu Malaysia) menentang Southampton City, dengan perlawanan terakhir menentang Wolveshampton dilaman sendiri.

Sekiranya Liverpool berjaya menjaringkan 6 gol tanpa bolos menentang Southampton manakala City tumpas di tangan Villa 1-0 dalam perlawanan terakhir mereka dan Liverpool pula melakar keputusan seri 1-1 sama menentang Wolves dalam perlawanan terakhir, maka perlawanan playoff mungkin perlu diadakan.

Kenapa? Mengambil kira format penentuan kejuaraan liga, keputusan-keputusan diatas akan menyebabkan Liverpool dan City berkongsi mata. Malah, jumlah perbezaan jaringan dan jumlah jaringan yang dicatatkan kedua-dua pasukan juga adalah sama iaitu 71 dan 96 gol.

Seandainya perlawanan playoff perlu diadakan, maka ramai yang meramal perlawanan berkenaan mungkin akan diadakan 3 hari sebelum perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah mengambil tempat. Liverpool akan turun menentang Real Madrid dalam perlawanan tersebut.

Melihat statistik perlawanan kedua-dua pasukan musim ini, agak sukar untuk menjangkakan perlawanan playoff boleh berlaku. Mungkinkah pertarungan tambahan satu perlawanan epik ini menjadi kenyataan? Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Sumber: AZR Organization, Skysport

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.