Siakap Keli
roti bakar
Gambar: Google

Terdapat Bahan Kimia, Ini Sebab Kenapa Ramai Pakar Berpendapat Roti Bakar Tidak Sihat

Pasti ramai yang menggemari hidangan roti bakar bukan? Tapi tahukah anda bahawa, ramai pakar berpendapat bahawa ia tidak sihat. Nak tahu kenapa? Baca di bawah.

“Jagalah masa sihat kamu, sebelum datang masa sakit kamu”. Setiap individu diseru untuk menjaga kesihatan kerana ia merupakan anugerah yang paling bermakna. Untuk memiliki tubuh badan yang sihat, setiap individu perlu menjaga pemakanan seharian.

Roti merupakan makanan berkarbohidrat dan mudah untuk didapati. Justeru, tidak hairan sekiranya roti merupakan makanan yang paling digemari oleh masyarakat terutamanya roti bakar. Hal ini demikian kerana roti bakar merupakan antara salah satu makanan seimbang. Tambahan pula, roti bakar amat lazat sekiranya dimakan dengan jem dan mentega.

Walau bagaimanapun, tahukah anda bahawa roti bakar mampu memudaratkan kesihatan? Hal ini kerana, pembakar roti mengeluarkan akrilamida yang merupakan bahan kimia yang terhasil daripada makanan berkanji apabila dimasak pada suhu panas dan tempoh lama.

Untuk mendapatkan informasi lanjut mengenai bahaya roti bakar, ikuti penjelasan yang dikongsikan oleh portal Hello Doktor ini seperti berikut:

Mungkin tidak banyak pilihan menu yang lebih menyelerakan ketika sarapan pagi melainkan minuman panas bersama roti bakar yang disapu dengan mentega kegemaran anda, bukan?

Ia juga ternyata amat mudah dan pantas untuk disediakan dengan adanya pembakar roti. Namun, ramai percaya bahawa wujud bahaya tersembunyi di sebalik roti bakar dan pembakar roti!

Roti bakar, menu sarapan paling popular?

Mungkin ramai menggemari roti yang dimakan begitu sahaja tapi ia akan lebih enak apabila dibakar atau dipanggang terlebih dahulu dan disapu dengan mentega, jem, kaya atau inti lain.

Terdapat dua cara atau kaedah pembakaran roti ini yakni dengan menggunakan api atau elektrik.

Kedua-duanya juga akan membakar roti dengan cara menjana dan menghala haba panas ke arah roti yang membuat ia menjadi kering dan ringan lantas lebih mudah dimakan.

Apa yang menarik adalah kaedah ini tidak memerlukan sebarang minyak atau sebarang produk tambahan lain sekali gus menjadikan ia sebagai salah satu menu sarapan sihat.

Pun begitu, telah wujud kajian yang kata bahawa menu ini sebenarnya tidak sihat ekoran wujud bahaya tersembunyi di dalam pembakar roti itu sendiri dan anda wajar waspada.

Apa nutrisi yang wujud di dalam roti bakar?

Untuk pengetahuan anda semua, 100 gram (g) roti gandum itu mengandungi nutrisi yang berikut:

  • Karbohidrat – 43 g
  • Protein – 12 g
  • Lemak – 3.5 g
  • Sodium – 455 mg
  • Potasium – 254 mg
  • Kolesterol – 0 mg
  • Kalori – 252 kcal

Namun, wujud kebimbangan di mana apabila roti gandum itu dibakar, nutrisi-nutrisi di atas ini mungkin akan menjadi kurang atau hilang dan membawa kepada bahaya lain pula.

Kenapa ada pakar kata roti bakar tidak sihat?

Menurut British Food Standards Agency (BFSA), anda perlu berfikir lebih daripada sekali sebelum makan roti yang telah dibakar kerana ia mungkin agak berbahaya terhadap kesihatan.

Berikut adalah antara sebab roti bakar itu mungkin tidak sesihat seperti yang anda sangka:

Kewujudan bahan kimia bahaya

Ini kerana pembakar roti itu sendiri boleh mengeluarkan akrilamida – bahan kimia yang terhasil daripada makanan berkanji apabila dimasak pada suhu panas dan tempoh lama.

Salah satu contoh makanan berkanji tersebut adalah roti. Dalam erti kata lebih mudah, roti yang dibakar pada suhu panas dan tempoh lama akan jadi punca akrilamida ini wujud.

Pun begitu, bahan kimia ini hanya akan mendatangkan ancaman berbahaya pada tahap kesihatan individu apabila ia masuk ke dalam tubuh badan dalam jumlah yang sangat besar.

Apabila roti itu dibakar sehingga berubah warna gelap lagi hitam, wujud risiko di mana ia akan menghasilkan serpihan bahan kimia berbahaya yakni neurotoksin serta karsinogen yang sekali gus boleh jadi punca kondisi kanser.

Kemalangan di dapur rumah

Tidak hanya itu, individu juga mungkin terlupa bahawa pembakar roti itu juga boleh membawa kepada kemalangan di dapur rumah dalam bentuk kebakaran jika wujud kerosakan.

Ketahuilah bahawa alat ini juga boleh rosak di mana ia tidak tertutup secara automatik yang akan jadi punca overheat. Kesannya, ia boleh terbakar dan membahayakan seisi rumah.

Lupakan roti di dalam ketuhar itu kerana situasi ini bukan hanya boleh mengakibatkan kebakaran yang kecil malah besar. Bertindak segera untuk mengelakkan diri daripada kemalangan.

Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan segera menutup suis dan mencabut plug jika ia jenis elektrik. Apabila ia telah rosak, jangan pula anda menggunakannya sekali lagi kerana kejadian itu boleh berlaku berulang kali.

Membakar roti dengan cara sihat lagi selamat!

BFSA juga telah menjalankan kempen Go for Gold yang menyarankan individu hanya bakar dan makan roti yang berwarna keemasan sahaja kerana ia akan dapat mengurangkan risiko kewujudan bahan kimia berbahaya.

Ini bermakna anda masih boleh membakar roti namun ia tidak boleh jika terlalu garing dengan karakteristik yang terlalu gelap dan hitam untuk mengelakkan kewujudan akrilamida.

Dalam pada itu, sentiasa periksa dan selenggara pembakar roti di dapur anda untuk memastikan alat itu masih dalam keadaan yang bagus sebelum menggunakan dan membakar roti.

Konklusinya, roti bakar itu masih sihat dan selamat untuk dimakan selagi ia tidak dibakar pada suhu panas dan tempoh lama! Pastikan pembakar roti anda itu juga tidak rosak ya?

Sumber: HelloDoktor

Nurfatihah Shahirah Azzuddin

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.