Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Terengganu Sedia Dua Insentif Untuk Atlet Sukan SEA

KUALA NERUS, 17 Mei (Bernama) — Kerajaan negeri Terengganu menyediakan dua insentif khas kepada 47 atlet Terengganu yang mewakili negara ke temasya Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia termasuk Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) dan Insentif Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) bagi menghargai jasa dan bakat serta menaikkan semangat atlet untuk berjuang di pentas sukan terbesar Asia Tenggara itu.

“Untuk SWARA, setiap atlet Terengganu yang menyertai Sukan SEA akan menerima wang tunai sebanyak RM1,000 manakala SHAKE pula nilainya berbeza mengikut warna pingat dimenangi,” katanya pada Majlis Hari Raya Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan penyampaian SWARA kepada atlet Terengganu yang menyertai Sukan SEA 2022 di Vietnam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil.

Wan Sukairi berkata bagi atlet perseorangan di bawah Insentif SHAKE, pemenang pingat emas akan menerima wang tunai sebanyak RM4,000; pingat perak (RM3,000) dan pingat gangsa (RM2,000).

Bagi acara berpasukan pula katanya, pemenang pingat emas masing-masing bakal menerima ganjaran sebanyak RM2,500; pingat perak (RM2,000) dan pingat gangsa (RM1,500).

“Setakat tengah hari ini, lapan atlet kita sudah menyumbang satu pingat emas, tiga perak dan empat gangsa kepada kem negara.

“Insya-Allah akan ada lagi pingat menyusul selepas ini kerana kita ada nama-nama besar seperti Harrif Salleh dalam sukan berbasikal dan sebagainya,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.