Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berhubung Pemansuhan Aproved Permit (AP) bagi kelulusan kuota import pada 19 Mei 2022.
Pemansuhan kelulusan kuota import itu dibuat bagi komoditi agromakanan tertentu seperti kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair.
Walaupun bagaimanapun, AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuatkuasa. Kerajaan akan mengekalkan dasar import utama dalam pengimportan beras yang mana penting dan releven dalam melindungi komoditi strategik beras sebagai makanan ruji rakyat Malaysia sekaligus memastikan bekalan beras dalam negara mencukupi pada setiap masa.
Menurut laporan, dengan pemansuhan AP ini, semua syarikat adalah dibenarkan mengimport semua komoditi makanan (kecuali beras) tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) beserta syarat-syarat yang tertulis dalam permit selaras dengan Seksyen 11 (1), Akta Perkhidamatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan juga Akta dan Peraturan lain yang berkaitan.
Sementara itu, Mafi akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan dan supaya rakyat terus mendapat bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat.
Pada masa yang sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara.
Mafi berharap dengan keputusan kerajaan ini, bekalan makanan dan sekuriti makanan negara akan terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Sumber: Jabatan Perkhidmatan Veterinar