Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin percaya rakyat Malaysia mempunyai kemampuan untuk memastikan fasa peralihan ke endemik berjaya dilaksanakan.
Memetik Astro Awani, beliau berkata perkara ini dibuktikan selepas tiada peningkatan secara mendadak kes Covid-19 dicatatkan selepas orang ramai menyambut Aidifitri.
“Tahniah rakyat Malaysia. Kita melihat dari segi tingkah laku rakyat Malaysia sangat baik dalam fasa peralihan endemik. Di kawasan terbuka luar pun masih lagi memakai pelitup muka.”
“Jadi, maknanya rakyat Malaysia sudah tahu macam hendak hidup dengan Covid-19 dan mereka juga tahu sekiranya ada gelaja, jangan keluar, jangan campur dengan masyarakat untuk asingkan diri,” jelas Khairy Jamaludin pada pemberita.
Tidak dinafikan ada sesetengah pihak meramalkan kes Covid-19 akan meningkat secara mendadak selepas perayaan ini namun selepas sudah dua minggu, situasi pandemik masih terkawan dan tiada peningkatan ketara kes berlaku.
Pada masa yang sama, Menteri Kesihatan itu juga berkata faktor vaksinasi turut menyokong kejayaan negara mengawal wabak berkenaan.
“Vaksinasi ini membantu mengurangkan kesan yang buruk kepada pesakit Covid-19 dan kita lihak sekarang ini hospital tidak lagi penuh dengan kes Covid-19. Keadaan ini membolehkan banyak lagi kes lain dapat KKM selesaikan sekarang bagi tumpuan pada penyakit asma dan penyakit serius yang lain,” ujarnya.
Justeru itu, dengan kadar pematuhan yang tinggi oleh rakyat Malaysia secara tidak langsung turut membantu KKM supaya tidak perlu lagi menguatkuasakan undang-undang dengan memberikan kompaun seperti mana dilaksanakan sebelum ini.
Sumber: Astro Awani