Mesti ada di antara kita yang pernah mengalami masalah kulit muka berjerawat. Seringkali jerawat ini akan timbul di kawasan muka lebih-lebih lagi di kawasan pipi, dahi, hidung dan dagu yang juga dikenali sebagai ‘zon-T.
Ada juga yang mengalami masalah jerawat yang hanya tumbuh di kawasan dagu dan garis rahang sahaja. Apakah punca yang menyebabkan terjadinya masalah ini?
Oleh itu, ikuti perkongsian oleh portal kesihatan, Hello Doktor bagi mengetahui punca, rawatan dan cara untuk mencegah jerawat yang timbul di kawasan dagu.
Kemunculan jerawat di dagu
Kemunculan jerawat atau akne pada bahagian dagu adalah perkara biasa. Seperti jerawat lain, ia mungkin disebabkan oleh gabungan faktor termasuklah peningkatan sebum, liang pori tersumbat, keradangan dan bakteria.
Berdasarkan penyelidikan, jerawat pada bahagian muka ini – dagu dan garis rahang – sering dikaitkan dengan hormon, khususnya pada wanita.
Hormon androgen merangsang pengeluaran sebum – minyak yang bertanggungjawab dalam penyumbatan liang pori.
Sesetengah wanita menghasilkan lebih banyak androgen seperti disebabkan oleh keadaan kesihatan yang dikenali sebagai sindrom ovari polisistik (PCOS).
Fahami puncanya
Sama ada remaja atau dewasa, kedua-duanya boleh mengembangkan jerawat pada bahagian muka ini.
Jerawat remaja paling kerap muncul pada bahagian zon-T – merangkumi dahi, hidung dan dagu. Manakala jerawat dewasa yang berpunca daripada turun naik hormon sering terjadi di sepanjang garis rahang.
Antara punca kemunculan jerawat di dagu adalah:
- Kulit berminyak
- Hormon yang turun naik
- Gangguan hormon, seperti PCOS
- Tabiat pemakanan
- Tekanan
- Genetik
- Ubatan tertentu
- Produk penjagaan rambut dan kulit
Bukan masalah jerawat
Dalam sesetengah kes, jerawat di dagu tersebut bukanlah jerawat. Sebaliknya keadaan yang menyerupai seperti jerawat, iaitu rambut tumbuh ke dalam (ingrown hair) atau rosacea.
Walaupun masalah ingrown hair lebih kerap dalam kalangan lelaki yang bercukur, namun sesiapa sahaja boleh mengalaminya.
Ia adalah di mana rambut tumbuh semula ke dalam kulit, menyebabkan kemerahan dan keradangan. Keadaan itu boleh membentuk pustula seperti jerawat dan agak gatal.
Rosacea pula adalah keadaan yang menyebabkan kemerahan dan benjolan bernanah pada kulit.
Merawat jerawat di dagu
Bergantung kepada tahap keterukan akne, terdapat beberapa pilihan yang boleh anda lakukan untuk merawat masalah jerawat yang dialami:
1) Basuh muka
Untuk merawat jerawat ia harus bermula dengan kulit yang bersih. Basuh muka 2x sehari menggunakan produk pembersih lembut.
Selain daripada memicit jerawat, anda juga harus elakkan harsh product atau menggosok terlalu kuat kerana ia boleh merengsakan kulit dan memburukkan akne.
2) Produk penjagaan bersesuaian
Individu yang mempunyai jerawat perlu mengelakkan produk mekap, penjagaan kulit dan rambut yang berasaskan minyak.
Gunakan produk dengan label:
- Bukan komedogenik – dirumus khusus untuk tidak menyumbat liang pori
- Berasaskan air
- Tanpa minyak
- Tidak akan berjerawat
- Tidak akan menyumbat pori
3) Kurangkan produk tenusu & gula bantu atasi masalah jerawat
Mereka yang gemar mengambil minuman soda dan produk bergula lain lebih cenderung untuk mengalami jerawat. Begitu juga dengan individu yang suka mengambil produk tenusu dengan banyak.
4) Ubat farmasi
Bahan-bahan berikut semuanya boleh didapati di farmasi dan kedai ubat, yang telah terbukti dapat mengurangkan jerawat:
- Retinoid
- Asid salisilik
- Benzoyl peroksida
- Asid azelaic
Retinoid telah terbukti sangat membantu dalam merawat bintik putih dan bintik hitam. Asid salisilik dan benzoil peroksida mungkin lebih berkesan untuk merawat papula dan pustula.
5) Rawatan preskripsi
Doktor mungkin menetapkan mana-mana yang berikut:
- Antibiotik
- Dapsone
- Retinoid oral
Doktor juga mungkin mengesyorkan ubat kawalan hormon seperti pil pencegahan kehamilan – dapat membantu mengawal pengeluaran sebum.
6) Laser atau terapi cahaya, antara cara atasi masalah jerawat di dagu
Pakar dermatologi kosmetik mungkin mengesyorkan beberapa versi terapi cahaya untuk membantu merawat jerawat anda. Prosedur ini biasanya perlu dilakukan dalam beberapa sesi di dalam bilik rawatan.
Langkah pencegahan
Agak sukar untuk menghalang sepenuhnya pertumbuhan jerawat pada bahagian dagu. Tetapi beberapa perkara berikut boleh dilakukan sebagai langkah pencegahan, seperti:
- Mencuci dagu dan semua kawasan muka dengan sabun lembut dua kali atau lebih setiap hari
- Elakkan makanan berminyak dan tinggi gula
- Meminimumkan tekanan atau pencetus hormon lain
- Hindari daripada menyentuh muka secara berlebihan dengan tangan dan jari
- Gunakan pelindung matahari bebas minyak dengan kerap
- Pastikan cadar dan peralatan tempat tidur lain bersih dan kerap dicuci
- Elakkan produk kulit yang mengandungi minyak yang boleh menyumbat liang pori
Sumber: HelloDoktor