Siakap Keli
dana covid-19
Kredit Gambar: NDTV

RM1.58 Juta Dana COVID-19 Bandar Lebur Akibat Tersilap ‘Transfer’, Lelaki Habiskan Untuk Berjudi

Jepun – Seorang lelaki berusia 24 tahun dilaporkan telah menghabiskan wang sebanyak 46.3 juta yen (RM1.58 juta) untuk berjudi selepas menerima dana COVID-19 yang tersilap dipindahkan daripada bandar yang didiaminya, lapor Japan Today.

Menurut peguamnya, lelaki tersebut difahamkan tidak akan dapat memulangkan wang tersebut yang telah dimasukkan oleh pihak berkuasa di bandar Abu, Wilayah Yamaguchi.

Peguamnya berkata penyelesaian kes itu melalui litigasi sedang dipertimbangkan.

Menjelaskan perkara itu melalui sidang media, peguam tersebut berkata lelaki berkenaan telah mengeluarkan wang daripada akaunnya dengan menggunakan telefon pintar.

Menurutnya, lelaki itu tinggal bersendirian dan tiada orang lain terlibat dalam insiden tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa bandar Abu telah menyaman lelaki itu sebanyak 51 juta yen (RM1.74 juta) pada Khamis lalu sebagai ganti rugi serta yuran guaman.

Bagaimanapun, lelaki itu dipercayai enggan memulangkan wang tersebut dan menegaskan bahawa ia telah dimasukkan ke akaunnya dan tidak boleh dikembalikan.

“Saya akan menebus dosa saya,” katanya.

Dalam pada itu, peguamnya menafikan dakwaan bahawa dia tidak dapat dihubungi selepas bandar tersebut memfailkan tuntutan mahkamah terhadapnya.

Sebaliknya, polis telah menyimpan telefon bimbitnya berikutan soal siasat sukarela pada April dan Mei.

Pegawai di bandar itu telah memindahkan 100,000 yen dalam bentuk wang bantuan COVID-19 pada 6 April lalu kepada setiap 463 isi rumah berpendapatan rendah di Abu.

Setelah semuanya selesai, salah seorang pegawai tersilap mengemukakan permohonan pemindahan tunggal kepada institusi kewangan sebanyak 46.3 juta yen untuk lelaki tersebut yang namanya berada di bahagian paling atas dalam senarai.

Jumlah keseluruhan telah dipindahkan ke akaun bank lelaki itu pada 8 April lalu.

Sumber: Japan Today

Sofea

There's always another side to every story