ANKARA, 20 Mei (Bernama) — Jawatankuasa Pengadil FIFA pada Khamis mengumumkan pelantikan tiga pengadil wanita buat pertama kalinya sebagai pegawai perlawanan pada Piala Dunia di Qatar
Pengadil wanita yang bakal warnai Piala Dunia adalah Stephanie Frappart dari Perancis, Salima Mukansanga dari Rwanda, dan Yoshimi Yamashita dari Jepun dipilih sebagai pengadil perlawanan bola sepak lelaki, lapor Agensi Anadolu.
Sementara itu, Neuza Back dari Brazil, Karen Diaz Medina dari Mexico, dan Kathryn Nesbitt dari Amerika Syarikat dilantik sebagai pembantu pengadil dalam senarai pegawai perlawanan yang dikeluarkan.
“Seperti biasa, kami mengutamakan kualiti dan pegawai perlawanan yang dipilih mewakili peringkat tertinggi pengadil di seluruh dunia,” kata pengerusi jawatankuasa dan bekas pengadil Itali Pierluigi Collina.
Piala Dunia akan diadakan dari 21 Nov hingga 18 Dis dengan 32 pasukan dalam lapan kumpulan. 32 negara bakal berentap di Qatar bagi merebut gelaran juara dunia dengan nama-nama besar seperti Perancis, Brazil dan Germany menjadi tumpuan.
Malangnya, Piala Dunia kali ini sekali lagi tanpa juara eropah iaitu Itali yang gagal layak selepas ditewaskan Macedonia Utara dalam perlawanan kalah mati baru-baru ini. Ini kali pertama dalam sejarah, juara bertahan EURO gagal ke Piala Dunia.
Peminat-peminat di seluruh dunia termasuk Malaysia pastinya sudah tidak sabar menantikan kejohanan paling berprestij ini dan pastinya kedai-kedai mamak bakal menjadi tumpuan peminat menonton perlawanan Piala Dunia seperti sebelum pandemik.
— BERNAMA