Seorang lelaki warga Finland ditemui mati di rumahnya yang terletak di Jalan USJ 2/4f, Subang Jaya selepas membuat satu hantaran di akaun Facebook miliknya pada Khamis lalu.
Menurut portal Awani, dalam hantaran Facebook tersebut, dia telah meminta bantuan daripada orang ramai untuk menghantarnya ke hospital.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada kawan mangsa seorang wanita warga China berusia 39 tahun selepas mangsa gagal dihubungi.
“Pada 19 Mei jam lebih kurang 10 malam pengadu seorang wanita warga China menghubungi talian MERS999 apabila mesej pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada kawannya berusia 50 tahun tiada respon selepas melihat hantaran Facebook tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui seorang lelaki (mangsa) dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik ketiga,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Abd Khalid berkata, siasatan awal mendapati pintu rumah tersebut tidak berkunci, dan dalam keadaan gelap serta berselerak di bahagian bilik.
Jelasnya, mangsa yang tinggal bersendirian dipercayai tidak mempunyai musuh dan dikatakan seorang yang mesra menurut jirannya di kawasan perumahan terbabit.
“Petugas perubatan mengesahkan kematian mangsa dan berdasarkan kedudukan fizikal mangsa polis tidak menemukan sebarang kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah atau keraguan di dalam kematiannya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kematian diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),”ujarnya.