Siakap Keli

Tak Sangka Ada Rezeki ‘Tersimpan’, Wanita Terima Rumah Lepas 5 Tahun Suami Askar Meninggal Dunia

Selepas lima tahun ditinggalkan Allahyarham suami yang menghidap kanser paru-paru, Nur Fatimah Ibrahim, 38 dapat menarik nafas lega apabila menjadi salah seorang daripada penerima rumah baharu Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

Kata ibu kepada lima anak itu, selama ini mereka hanya menumpang di rumah ibu dan bapanya yang telah uzur.

“Tidak pernah saya jangka akan menerima rumah dan saya berterima kasih kepada ATM dan kerajaan kerana masih mengambil berat kebajikan keluarga pegawai dan anggota,” katanya.

“Rumah ini sangat bermakna buat saya dan anak-anak kerana buat masa ini saya menumpang di rumah ibu bapa saya yang juga sedang uzur, di Puchong.”

Suaminya, Kapten Mansur Mahnul telah meninggal dunia akibat kanser paru-paru tahap empat pada 2017 yang lalu.

Sementara itu, seorang pesara berpangkat Sarjan, Sarjan B (TDM), Abdul Raset Maritus, 48 turut menerimah sebuah rumah SASaR untuk dijadikan tempat berteduh bersama 13 anak-anaknya.

“Ini adalah hadiah paling istimewa sepanjang 22 tahun usia dalam perkhidmatan dan sumbangan curahkan dalam TDM. Rumah ini juga dapat meringankan tanggungan di dalam membesarkan tujuh anak yang masih dibangku persekolahan.

“Terima kasih kepada pihak kementerian kerana tidak mengenepikan kebajikan pesara seperti saya,” katanya.

Laskar Kanan Komunikasi (TLDM), Siti Zura Azwanie Abdullah, 38 juga merupakan salah seorang anggota bertuah apabila menerima sebuah rumah selepas 18 tahun berkhidmat di Depot Bekalan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut.

Kongsinya, pendapatannya yang sederhana agak menyukarkan dirinya bagi menyediakan tempat tinggal yang selesa buat lima anak tanpa bantuan orang lain.

“Alhamdulillah, selepas hampir 18 tahun perkhidmatan rezeki ini ibarat durian runtuh. Inilah hadiah paling bermakna buat diri saya,” katanya.

SASaR pastikan warga ATM mampu miliki rumah sebelum bersara

Untuk pengetahuan, SASaR merupakan satu projek khas untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Pertahanan (Kementah) dan veteran ATM. Ia merupakan salah satu langkah kementerian untuk memastikan warga ATM dan Kementah mampu memiliki rumah sebelum bersara.

Sebanyak 3,500 unit akan dibina dan dijual pada harga bermula RM150,000 di Residensi Sateria manakala 974 unit rumah akan dibina di Kem Wardieburn yang dijangka mula dibina pada tahun 2023 hingga 2025. Sebanyak 6,400 unit lagi akan dibina bermula 2028 hingga 2034 di Genting Klang.

Majlis Pra- Pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 dan Majlis Perjanjian Jual Beli Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) itu telah dirasmikan Menteri Kanan Perkhidmatan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussien baru-baru ini.

Ujar beliau, selain mempertahankan kedaulatan negara, kebajikan keluarga ATM juga merupakan perkara yang dekat di hatinya.

Amira

Love yourself.