Siakap Keli
bot tunda karam
Gambar via Bernama

Bot Tunda Bersama Tiga Kru Disyaki Karam Di Pulau Mantanani

KOTA KINABALU, 23 Mei (Bernama) — Sebuah bot tunda Mega Jaya 2, bersama tiga kru disyaki karam di posisi 35 batu nautika barat laut Pulau Mantanani di Kota Belud, semalam.

Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata pemilik bot tunda tersebut telah membuat laporan polis pada 9.30 pagi semalam berkaitan kehilangan botnya yang disyaki karam.

Beliau berkata tiga kru itu merupakan warga tempatan iaitu Lim Chung Siong, 24, Wilson Paul Joseph, 31, dan Yee Lih Min, 22, dipercayai berada di atas bot ketika kejadian berlaku.

“Operasi Carilamat diaktifkan pada lebih kurang 11 malam tadi dengan mengatur gerak KM Bistari ke lokasi bot bagi melakukan pemantauan dan pencarian awal. Operasi Carilamat pada pagi ini turut melibatkan agensi sahabat daripada Polis Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia.

“Kawasan pencarian Mega Jaya 2 terbahagi kepada tiga sektor dengan keluasan 176 batu nautika,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru kepada orang awam yang mempunyai petunjuk berkaitan kes untuk disalurkan terus ke Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerusi talian 088-387774.

Sumber: BERNAMA

Faiz Mustafa