Siakap Keli
Gambar Via Bernama

Eksport Ayam 3.6 Juta Ekor Sebulan Dihentikan Mulai 1 Jun – PM Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) — Eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Kabinet hari ini sebagai langkah jangka pendek kerajaan terhadap isu bekalan serta harga ayam.

Ismail Sabri berkata selain itu kerajaan turut memutuskan untuk mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan agensi.

Turut diputuskan adalah memansuhkan Permit Import (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan dan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam.

Sebagai langkah jangka pendek mesyuarat Kabinet hari ini juga membuat ketetapan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam, kata Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini.

“Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada Jun.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel itu, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan dalam masa sama akan mengurangkan peranan orang tengah yang memanipulasi bekalan dan harga serta akan memperkenalkan semula jihad memerangi orang tengah yang diperkenalkan pada 2014 dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) diberi peranan untuk mengetuai jihad itu.

Mengenai pandangan jemaah menteri berhubung penanaman jagung dan hampas isirung kelapa sawit (PKC) untuk menjadi alternatif kepada makanan ayam, Ismail Sabri berkata MAFI dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diminta membentangkan pelan dalam masa terdekat bagi penanaman jagung dan sebagainya.

Ismail Sabri berkata selain itu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), agensi kerajaan, Pertubuhan Peladang dan Koperasi turut digalak untuk terlibat dalam penternakan ayam dan kerajaan akan mengkaji bantuan kepada mereka yang terlibat.

Perdana Menteri berkata kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Beliau berkata pada masa ini harga siling ayam standard ditetapkan pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Feb lepas.

“Bagaimanapun pihak kerajaan mendapati (ada) beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahu kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran. Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi membolehkan tindakan perundangan diambil, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun turut dipanggil pada mesyuarat Kabinet hari ini dan menasihati Kabinet untuk mengguna pakai Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) jika terdapat aktiviti menyorok, menyimpan atau unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam, selain lesen mereka juga boleh dibatalkan serta merta.

Selain itu Perdana Menteri berkata MAFI dan KPDNHEP diminta melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).

Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974) memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi individu dan denda sehingga RM2 juta bagi perbadanan atau syarikat.

“Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.

“Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta kekurangan bekalan,” katanya.

Sumber: Bernama

Sofea

There's always another side to every story