Siakap Keli
Gambar: Astro Awani/ Yahoo Singapore

Siri Animasi Popular, Keluang Man Bakal Diangkat Ke Layar Perak

Sebelum wujudnya animasi 3D, Malaysia pernah mempunyai pelbagai rancangan animasi 2D yang sentiasa mendapat tempat di hati penonton. Salah satu animasi popular pada satu ketika dahulu adalah Keluang Man.

Ia disiarkan pada tahun 1998 dan merupakan siri animasi adiwira pertama negara.

Kini setelah lebih dua dekad, siri animasi legenda itu dilaporkan bakal diangkat ke layar perak tidak lama lagi.

Memetik laporan Astro Awani, ia akan diterbitkan hasil kerjasama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd dan Astro Shaw.

Difahamkan, kedua-dua pihak tersebut telah menandatangi lesen hak cipta adaptasi ke filem baru-baru ini.

Kerjasama itu juga dikatakan menjadi titik permulaan buat Astro Shaw dan Iconic Animation Studio untuk memperkenalkan semula animasi adiwira legenda itu kepada generasi baharu.

“Kami percaya jenama Keluang Man amat besar dalam industri seni animasi tempatan dan mempunyai peminat tersendiri yang membesar bersama siri animasi ini.

“Meskipun jenama ini telah disiarkan, namun apabila ia diulang tayang selepas 10 tahun kemudian, ia masih mendapat sambutan baik dan itu membuktikan animasi adiwira ini mampu meninggalkan kesan di hati penonton dan sentiasa relevan mengikut peredaran zaman.

“Kami harap berita baik ini dapat memberi keterujaan buat peminat dan sekali gus dapat membuktikan karya animasi tempatan mampu diangkat ke tahap yang lebih tinggi,” kata Naib Presiden Perniagaan Melayu Nusantara dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad.

Bagi yang belum tahu, animasi itu diilhamkan oleh Allahyarham Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail bersama pengasas dan pemilik UAS Animation, Natashah Md Noor.

Keluang Man disukai ramai kerana menampilkan jalan cerita yang unik dan turut diselitkan dengan elemen komedi.

Ia disiarkan sebanyak tujuh musim dengan lebih 140 episod.

BACA: Karyanya Pernah Digilai Kanak-Kanak Dahulu, Pencipta Animasi Keluang Man Meninggal Dunia

Sumber: Astro Awani

Sofea

There's always another side to every story