Siakap Keli
tembok penahan bergerak
Gambar via Bernama

Tembok Penahan Bergerak, Pemaju Diberi Notis Berhenti Kerja

Susulan tragedi tembok penahan projek pembinaan sebuah pangsapuri ‘bergerak’, pemaju diberi notis berhenti kerja oleh datuk bandar.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah mengumumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja kepada pemaju sebuah projek pembinaan di salah sebuah blok pangsapuri.

Memetik Bernama, notis tersebut dikeluarkan susulan pergerakan tembok penahan (Contiguous Bore Pile-CBP Wall) di tapak projek pembinaan tersebut.

Oleh itu, pemaju diarahkan untuk melakukan kerja-kerja pengukuhan tembok terlebih dahulu sebelum projek tersebut dapat diteruskan semula.

Dalam pada itu, DBKL juga telah melantik IKRAM sebagai perunding bebas untuk melaksanakan kajian dan juga memantau  kerja-kerja pengukuhan tembok di kawasan tersebut.

Hal ini adalah susulan kejadian tanah yang mendap dan telah menyebabkan kerosakan sebuah rumah di Lorong Selangat, Taman Permata, Cheras.

Difahamkan, ekoran dari mendapan tanah itu juga telah menyebabkan sebuah rumah runtuh manakala enam lagi rumah di kawasan berdekatan berada pada tahap bahaya dan tidak selamat.

Disebabkan itu, semua penghuni keenam-enam buah rumah tersebut telah diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka dengan segara.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga telah mengarahkan penduduk di kawasan sekitar untuk keluar dan berpindah ke kawasan yang lebih selamat, semalam, 22 Mei 2022.

Menurut laporan, kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan jumlah mangsa masih lagi berada dalam siasatan pihak berkuasa.

Sumber: Bernama

 

 

Faiz Mustafa