Siakap Keli
lelaki berbaju pink
Kredit: Redaksi

Betul Ke Perempuan Lebih Tertarik Dengan Lelaki Berbaju Pink? Ini Penjelasannya

Ramai yang memandang lelaki berbaju pink sebagai suatu benda yang negatif. Tapi sebenarnya, ramai perempuan lebih tertarik kalau lelaki itu mengenakan baju pink. Nak tahu kenapa? Baca artikel ini.

Warna merah jambu atau lebih dikenali sebagai pink dengan wanita sangat berkait rapat ibarat isi dengan kuku. Ramai lelaki yang beranggapan bahawa warna pink hanya sesuai dengan wanita.

Namun begitu, anggapan itu salah sama sekali. Sebenarnya, ramai perempuan yang gemar melihat lelaki memakai baju berwarna pink. Lebih-lebih lagi warna pink lembut. Hal ini disebabkan, warna mampu bermain dengan emosi seseorang.

Menurut pakar psikologi, warna pink mampu memberi reaksi yang positif pada tanggapan manusia. Untuk dapatkan maklumat lanjut mengenai sebab wanita tertarik dengan lelaki berbaju pink, ikuti penjelasan yang dikongsikan melalui portal Hello Doktor seperti berikut:

Warna pink warna perempuan?

Percaya atau tidak, warna tertentu sememangnya memberikan kesan terhadap perasaan, emosi dan tingkah laku kita setiap hari.

Ini termasuklah warna merah jambu yang sering dikaitkan dengan rasa sayang, cinta, kelembutan dan feminin.

Jadi tidak hairan jika warna merah jambu ini sering dihubungkan dengan sifat-sifat kewanitaan.

Disebabkan hubungan warna ini dengan sifat kewanitaan atau ciri-ciri perempuan, maka ia lebih ditafsirkan sebagai warna yang melambangkan kelembutan, kebaikan, dan belas kasihan.

Namun, kita juga perlu mengetahui bahawa perkaitan warna ini lebih banyak dipengaruhi dengan pengalaman seseorang individu tersebut dan juga pengaruh budaya.

Pilihan warna juga sering dikaitkan dengan pengalaman masa lalu yang pernah dialami oleh individu tersebut.

Maksud warna pink dari sisi psikologi

Sebenarnya, kita boleh melihat maksud warna merah jambu ini berdasarkan kepada reaksi manusia terhadap warna ini. Antaranya ialah:

#1. Warna merah jambu melambangkan feminin

Ramai individu menyatakan bahawa maksud warna pink ialah bersifat feminin, bersemangat dan juga bertenaga.

Tidak kurang juga yang menyatakan warna merah jambu ini sebagai warna yang menarik.

#2. Warna pink ialah warna yang menggembirakan

Ada sebilangan individu yang menyatakan bahawa warna ini melambangkan kegembiraan.

Ada yang beranggapan bahawa warna merah jambu mempunyai pengaruh emosi yang lebih kuat dan juga mendalam pada diri mereka.

#3. Warna merah jambu bersifat menyegarkan

Mungkin agak janggal tetapi warna merah jambu juga boleh memberikan kesan menyegarkan kepada peminatnya.

Ini kerana warna ini kerap dikaitkan dengan warna-warna bunga pada musim bunga yang bersifat segar dan baharu.

Warna ini juga dianggap sebagai warna yang memberikan inspirasi dan semangat baharu kepada penggemarnya.

Apa pula maksud jika lelaki memakai pakaian merah jambu?

Seorang lelaki yang memakai pakaian berwarna merah jambu menunjukkan bahawa dirinya selesa dengan seksualitinya, dan dalam masa yang sama selesa dengan apa yang ingin dipakainya tanpa menghiraukan tanggapan orang lain.

Lelaki seperti ini tidak menghiraukan sebarang fikiran stereotaip atau kepercayaan yang karut, khususnya terhadap dirinya.

Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana seorang lelaki yang memakai pakaian merah jambu memerlukan sejumlah rasa keyakinan dan keinginan yang lebih tinggi berbanding lelaki lain.

Tiada yang lebih menarik bagi seorang wanita melainkan lelaki yang berkeyakinan tinggi, bukan?

Patutkah lelaki memakai pakaian merah jambu?

Pada masa sekarang, jika seseorang lelaki itu memakai pakaian berwarna merah jambu, maka dia mungkin akan dikaitkan dengan sifat lembut atau ‘jambu’.

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa ada kalanya lelaki mungkin patut memakai pakaian dengan warna ini. Antara sebabnya ialah:

#1. Merah jambu pernah menjadi warna untuk orang lelaki!

Pada abad ke-18, golongan lelaki pada zaman tersebut diketahui kerap memakai sut dengan warna merah jambu.

Syarikat Brooks Brothers merupakan pihak pertama yang mula memperkenalkan pakaian merah jambu yang menjadi sangat popular untuk orang lelaki pada ketika itu.

Malah sebelum abad ke-20, kebanyakan kanak-kanak dipakaikan dengan pakaian berwarna putih sehinggalah kanak-kanak lelaki dipakaikan dengan pakaian merah jambu apabila warna mula digunakan pada pakaian.

Pada ketika itu, warna merah jambu tidak dikaitkan dengan sesuatu jantina dan maksud warna pink lebih dikaitkan dengan usia remaja dan kesihatan.

#2. Warna merah jambu menarik perhatian wanita

Kita mengetahui bahawa wanita amat menggemari warna merah jambu.

Jadi tidak pelik jika wanita mungkin akan tertarik kepada anda jika anda berpakaian pink, malah akan menyukai anda!

Kajian yang dijalankan oleh Cotton USA pada tahun 2012 juga menunjukkan, lelaki yang memakai pakaian merah jambu sewaktu bekerja cenderung untuk menarik perhatian wanita selain bekerja dengan lebih rasa berkeyakinan.

#3. Warna merah jambu nampak menonjol dan lebih berkuasa

Warna merah jambu pernah digunakan sebagai lambang yang menunjukkan kuasa.

Pada tahun 90-an, warna ini telah digunakan secara rasmi sebagai warna bagi Bulan Kesedaran Kanser Payudara dengan tujuan menunjukkan karakter “garang” warna tersebut.

Jadi, lelaki yang memakai pakaian berwarna merah jambu ini akan nampak lebih yakin, menonjol dan berkuasa berbanding lelaki yang memakai pakaian dengan warna lain.

Kesimpulan

Ya, mungkin lelaki yang memakai pakaian pink lebih dianggap sebagai lelaki ‘jambu’ pada masa kini.

Namun, jangan lupa bahawa ia pernah menjadi warna yang bersifat neutral tanpa spesifik kepada jantina perempuan sahaja.

Jadi, tidak salah jika seorang lelaki itu mahu mengenakan pakaian dengan warna ini, malah mungkin akan nampak lebih kacak dan bergaya!

Baca: Ini Ciri ‘Wajib’ Kereta Untuk ‘Travel’ Jauh, Isteri Baru Terlelap, Elok Bangun Tahu-tahu Dah Sampai

Sumber: HelloDoktor

Nurfatihah Shahirah Azzuddin