Siakap Keli
Pesara rugi RM60 ribu
Gambar via Need It Now Delivers

Pesara Rugi RM60,000 Diperdaya Penipuan Bungkusan

IPOH, 24 Mei (Bernama) — Seorang pesara kerugian RM60,000 selepas apabila menjadi mangsa penipuan ‘parcel scam’ atau penipuan bungkusan oleh seorang individu yang menyamar wakil Pos Malaysia Berhad.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata lelaki warga emas berusia 72 tahun itu  mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tersebut pada 11 Mei lepas dengan memaklumkan terdapat bungkusan milik mangsa yang tidak dituntut.

“Mangsa tidak mengaku bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan cek atas nama mangsa adalah miliknya. Mangsa kemudian disambungkan panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah kerana dikatakan mempunyai barangan terlarang dalam bungkusan tersebut.

“Mangsa telah dituduh terlibat dengan pengubahan wang haram dan kes dadah. Mangsa diminta menyerahkan butiran akaun miliknya bagi mengelakkan duit simpanan sedia ada dalam akaunnya dibekukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Adnan berkata mangsa telah menyerahkan segala butiran akaun miliknya kepada pihak sindiket dan diminta memindahkan wang sedia ada dalam akaun Bank Simpanan Nasional miliknya ke dalam dua akaun keldai yang diberikan sindiket, iaitu RM30,000 bagi setiap akaun pada Khamis dan Jumaat lepas.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis semalam apabila menyedari dirinya ditipu pihak tersebut,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tindakan licik sindiket Macau Scam dengan mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada mana-mana pihak tidak dikenali.

Sebelum ini, seorang pesara guru wanita mendakwa telah alami kerugian RM472,941 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam yang akhirnya menyebabkan dirinya terjebak dalam penipuan pinjaman wang tidak wujud.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang DSP Yap Huat Tian berkata mangsa yang berusia 65 tahun mendakwa dirinya telah berurusan dengan tiga syarikat pemberi pinjaman wang yang diketahuinya di internet sejak Februari lepas kerana berhasrat membuat pinjaman sebanyak RM2.5 juta.

“Mangsa mendakwa wang itu bagi membantu rakan lelakinya, seorang warga Amerika Syarikat yang sedang berhadapan masalah perniagaan menyebabkan lelaki itu tidak mempunyai wang untuk membayar gaji pekerja dan cukai perniagaan.

“Lelaki itu didakwa meminta bantuan mangsa dengan janji akan memulangkan kembali wang itu selepas berjaya mencairkan aset milik bapanya,” katanya menerusi kenyataan tempoh hari.

BACA JUGA: Pesara Guru Dakwa Rugi RM472,941 Akibat Love Scam

— BERNAMA

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.