Siakap Keli
akaun facebook tangmo
Gambar Via Google

Polis Lancar Siasatan, Cari Dalang Disebalik Akaun Facebook Tangmo

Polis Thailand dilaporkan akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab memuat naik gambar dan video mendiang di akaun Facebook Tangmo serta mencetuskan spekulasi berkaitan kematian pelakon itu.

Pesuruhjaya Biro Siasatan Jenayah Siber, Leftenan Jeneral Kornchai Khlaikhlueng berkata pihaknya sudah meminta pengendali telefon bimbit untuk mengenal pasti individu di sebalik akaun Facebook mendiang.

Dia juga berharap agar perkara itu dapat diketahui dalam masa seminggu, lapor Pattaya Mail.

Menurutnya lagi, individu tersebut berkemungkinan mempunyai akses kepada akaun iCloud Tangmo kerana semua gambar dan video yang dimuat naik pernah diperiksa oleh pihak polis.

Terdahulu, media sosial gempar apabila akaun Facebook rasmi Tangmo kembali aktif.

Sejak 21 Mei yang lalu, individu tersebut telah memuat naik status yang meminta agar kebenaran berkaitan kes itu dirungkai semula.

Malah, akaun Facebook itu juga menyiarkan video yang memaparkan wajah Tangmo secara langsung (Live) semalam sehingga mendapat ratusan ribu tontonan.

Dalam pada itu, peguam yang dikenali sebagai Decha menegaskan bahawa Facebook itu tidak dikendalikan oleh ibu Tangmo.

Menurutnya, ibu Tangmo tidak tahu cara untuk menggunakan media sosial tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa lima orang rakan Tangmo bersama seorang lagi lelaki yang turut berada di atas bot bersamanya telah menghadapi beberapa pertuduhan.

Mereka didapati berbohong kepada pihak polis serta menyembunyikan bukti.

Tangmo telah ditemui lemas di Sungai Chao Phraya selepas terjatuh dari bot laju yang dinaikinya bersama rakan-rakan pada 24 Februari lalu.

Sumber: Pattaya Mail

Sofea

There's always another side to every story