Siakap Keli
sesuatu yang pelik
Gambar via Daily Mail

“Sesuatu Yang Pelik Sedang Berlaku,” NASA Kesan Perubahan Dalam Aktiviti Pengembangan Alam Semesta

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) memaklumkan bahawa ‘sesuatu yang pelik’ sedang berlaku dalam alam semesta dan tidak dapat dijelaskan dari segi ilmu fizik semasa.

Memetik laporan Daily Mail, data daripada Teleskop Angkasa Hubble telah menunjukkan terdapat percanggahan besar antara kadar pengembangan semasa alam semesta berbanding dengan kadar sejurus selepas Big Bang berlaku.

Dalam pada itu, balai cerap orbit ikonik baru sahaja menyelesaikan maraton pengumpulan data selama 30 tahun.

Dengan maklumat ini, Hubble kemudiannya dapat mengenal pasti lebih daripada 40 ‘penanda milepost’ ruang dan masa untuk membantu saintis mengukur kadar pengembangan alam semesta dengan lebih tepat.

Punca masih misteri

Bagaimanapun, ia semakin menunjukkan bahawa ‘sesuatu yang pelik’ sedang berlaku.

“Punca percanggahan ini masih menjadi misteri. Tetapi data Hubble yang merangkumi pelbagai objek kosmik yang berfungsi sebagai penanda jarak, menyokong idea bahawa sesuatu yang pelik sedang berlaku, mungkin melibatkan fizik serba baharu,” kata pegawai NASA.

Sementara itu, pakar telah mengkaji kadar pengembangan alam semesta sejak tahun 1920-an dengan menggunakan pengukuran oleh ahli astronomi, Edwin P. Hubble dan Georges Lemaitre.

Pada tahun 1970-an, NASA telah berusaha untuk menggunakan teleskop angkasa lepas yang dapat menyelesaikan Cepheids iaitu bintang yang cerah dan malap secara berkala.

Cepheids dikatakan telah lama menjadi piawaian ’emas’ bagi penanda batu kosmik sejak kegunaannya ditemui oleh ahli astronomi, Henrietta Swan Leavitt pada tahun 1912.

Untuk mengira jarak yang lebih jauh, ahli astronomi menggunakan bintang yang dipanggil Type Ia supernovae.

Apabila digabungkan, objek tersebut akan membina ‘cosmic distance ladder’ merentasi alam semesta.

Ia penting untuk mengukur kadar pengembangan alam semesta yang dipanggil ‘pemalar Hubble’.

Nilai itu dikatakan penting untuk menganggarkan umur alam semesta dan memberikan ujian asas pemahaman kita tentang alam semesta.

Ia boleh digunakan untuk meramalkan berapa pantas objek astronomi pada jarak yang diketahui bergerak menjauhi bumi walaupun nilai sebenar pemalar Hubble masih diperdebatkan.

Hampir 25 tahun yang lalu, ahli astronomi juga menemui tenaga gelap yang digambarkan sebagai ‘kuasa tolakan misteri yang mempercepatkan pengembangan alam semesta’.

Penyelidikan baharu oleh Teleskop Angkasa Hubble mengukur 42 tonggak supernova.

Ia lebih daripada dua kali ganda sampel penanda jarak kosmik sebelumnya.

Percanggan berlaku

Bagaimanapun, apabila ia mula mengumpul maklumat tentang pengembangan alam semesta, percanggahan dapat dilihat.

Pengukuran Hubble mencadangkan kadarnya adalah kira-kira 45 batu (73 kilometer) setiap megaparsec.

Tetapi apabila mengambil kira pemerhatian alam semesta, ia perlahan kepada kira-kira 42 batu (67.5 kilometer) setiap megaparsec.

Megaparsec ialah ukuran jarak yang sama dengan satu juta parsec atau 3.26 juta tahun cahaya.

Ini menunjukkan bahawa evolusi dan pengembangan alam semesta adalah lebih rumit daripada yang kita sedari.

Dalam pada itu, masih banyak lagi yang perlu dipelajari tentang cara alam semesta berubah.

Sumber: Daily Mail

Sofea

There's always another side to every story