Siakap Keli
Gambar via Bernama

Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung Terbakar Sekali Lagi

NIBONG TEBAL, 24 Mei (Bernama) — Tapak pelupusan sampah Sungai Burung di sini terbakar sekali lagi malam tadi selepas kejadian sama berlaku Januari lepas.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Abdul Syukur @ Mohd Ilhami Musa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.34 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal digegaskan ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 40,000 kaki persegi.

“Kami (bomba) menggunakan tiga pengorek-kaut dan jentolak dalam operasi tersebut bagi menyekat kebakaran merebak selain pemadaman dilakukan dengan membuat semburan air dari bekalan tangki jentera bomba,” katanya yang dihubungi hari ini.

Beliau berkata bomba berjaya mengawal kebakaran pada 12.01 tengah malam namun mengambil masa lebih empat jam untuk memadamkan api sepenuhnya memandangkan masih terdapat kebakaran di bahagian bawah timbunan sampah.

Abdul Syukur berkata operasi pemadaman yang melibatkan 50 pegawai dan anggota bomba dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) itu tamat sepenuhnya pada 3 pagi.

Menurutnya punca kebakaran sedang disiasat namun pihak bomba tidak menolak ia kemungkinan berpunca akibat cuaca panas kebelakangan ini.

Pada 12 Jan lepas, kebakaran dilaporkan berlaku di tapak pelupusan sampah berkenaan yang melibatkan kawasan seluas 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar dengan operasi pemadaman mengambil masa hampir sebulan.

Kebakaran tersebut menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara.

Susulan itu, 86 keluarga membabitkan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka selain 10 sekolah ditutup tiga hari.

— BERNAMA

Faiz Mustafa