Siakap Keli
monkeypox masuk malaysia
Gambar: KKM

Tular Gambar Dakwa Monkeypox Dah Masuk Malaysia, KKM Sahkan Belum Terima Sebarang Maklumat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai kes virus monkeypox dah masuk Malaysia seperti yang didakwa dalam satu perkongsian tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu hantaran yang dibuat menerusi laman Twitter rasmi KKM, pihaknya menggesa agar waris kepada kanak-kanak yang didakwa dijangkiti virus tersebut untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan bagi pemeriksaan dan rawatan.

“Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan,” tulis KKM.

Monkeypox dah masuk Malaysia?

Berhubung isu yang tular itu, KKM menasihati orang ramai agar tidak menularkan berita yang tidak pasti kesahihannya.

KKM juga turut menasihatkan agar pesakit atau waris yang dijangkiti virus tersebut untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu.

Monkeypox‘ merupakan sejenis jangkitan virus yang mempunyai beberapa persamaan dengan cacar air (smallpox).

Difahamkan, ia pertama kali ditemui dalam koloni monyet di Republik Demokratik Congo pada tahun 1958 dan jangkitan pertama kepada manusia dilaporkan pada tahun 1970.

Menurut Mirror, pakar melaporkan, dalam kebanyakan kes, pesakit akan mengalami gejala ringan dan akan sembuh hanya dalam beberapa minggu setelah dijangkiti.

Berdasarkan CDC menerusi Mirror, terdapat tujuh simptom utama yang menandakan seseorang itu telah dijangkiti virus tersebut dan kebanyakannya adalah sama dengan cacar air walaupun bengkak pada kelenjar limfa merujuk kepada ‘monkeypox‘.

Antara simptomnya adalah demam, sakit kepala, sakit badan dan belakang, bengkak kelenjar limfa, menggigil dan lelah atau kepenatan.

Dalam tempoh masa satu hingga tiga hari selepas mengalami demam, pesakit biasanya akan mengalami ruam yang bermula di bahagian muka sebelum merebak ke bahagian badan yang lain.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Nurfatihah Shahirah Azzuddin