Palembang – Mahligai perkahwinan yang diimpikan oleh seorang gadis hancur apabila pengantin lelaki tidak hadir di hari pernikahannya.
Gadis berusia 16 tahun itu, yang hanya mahu dikenali sebagai DH berasa amat kecewa kerana pasangannya iaitu AH telah lari meninggalkannya.
Majlis akad nikah yang ditetapkan pada 22 Mei lalu tidak dapat dijalankan akibat pengantin lelaki lari ke Bandung. Namun, majlis persandingan tetap dijalankan pada hari yang sama kerana kad jemputan telah diedarkan.
Menurut ibu bapa pengantin perempuan, pada malam dan pagi sebelum majlis diadakan, keluarga AH sudah bersetuju untuk hadir ke acara tersebut bahkan bersetuju untuk memberi penjelasan mengenai AH yang lari ke Bandung.
Eva, yang merupakan jiran kepada keluarga pengantin perempuan itu turut menyatakan bahawa keluarga pihak lelaki telah bersetuju untuk hadir meskipun pengantin lelaki tersebut tidak hadir.
Pada hari persandingan, pihak pengantin perempuan telah menunggu ketibaan pihak lelaki dari pagi sehingga acara yang dimulakan tepat jam 11 pagi.
Namun, penantiannya hanya sia-sia kerana tiada seorang pun wakil pihak lelaki yang datang. Perkara itu telah mengundang malu kepada keluarga pihak perempuan.
Terdahulu, keluarga pihak wanita ingin membatalkan majlis, namun ditentang oleh keluarga pihak lelaki kerana mereka bersetuju untuk menanggung malu bersama-sama.
Menurut Eva, keluarga pihak perempuan seolah-olah telah ‘diprank’ dengan pihak keluarga lelaki. Hal ini kerana perjanjian yang telah dipersetujui dimungkiri begitu sahaja. Malah, sebarang kata maaf tidak diucapkan.
Ekoran dari itu, pihak keluarga perempuan nekad untuk melaporkan kepada pihak polis. Namun, laporan yang dibuat bukanlah disebabkan ketidakhadiran pengantin lelaki pada majlis pernikahan tetapi dakwaan mengenai pengantin lelaki yang melakukan jenayah rogol terhadap perempuan bawah umur.
Menurut Erlangga, pegawai polis, laporan yang dibuat telah diterima. Namun tidak terkait dengan penipuan atau perbuatan tidak menyenangkan tetapi berkaitan persetubuhan remaja di bawah umur.
Sumber: Detik.com